Malaysia akan berdepan juara bertahan – Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan B pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.
Sementara Kumpulan A pula akan dibarisi oleh juara lima kali – Thailand, Myanmar, Filipina, juara empat kali – Singapura dan pemenang perlawanan kelayakan di antara Brunei dan Timor-Leste.
Kejuaraan Asia Tenggara edisi ke-13 ini sepatutnya berlangsung pada penghujung 2020, namun terpaksa ditunda ke April 2021 dan kemudiannya ke tarikh baharu, Disember ini berikutan pandemik COVID-19.
Bagi ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, undian kali ini tidak banyak bezanya kerana pada Piala Suzuki AFF 2018, Malaysia diundi satu kumpulan dengan Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos sebelum menyingkirkan Thailand di separuh akhir untuk bertemu Vietnam di final.
“Saya rasa undian kali ini nampak tak banyak berbeza kerana setiap kali kejohanan di peringkat Asia Tenggara, negara-negara tersebut walaupun dalam peringkat bawah umur pun kita akan jumpa. Jadi semua sudah biasa dengan pasukan-pasukan tersebut.
“Sudah tentu kita tahu Vietnam adalah pasukan pilihan dalam Kumpulan B ini dan yang penting, kita perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Pada masa sama, kita juga perlu fokus bukan saja lawan Vietnam, kita tahu Indonesia sememangnya musuh tradisi kita, Kemboja pula kita tak boleh ambil mudah kerana mereka mempunyai pemain-pemain berbakat.
“Sementara Laos walaupun mereka di balang kelima tetapi kita perlu sentiasa fokus untuk setiap perlawanan,” kata Cheng Hoe kepada www.fam.org.my selepas majlis undian tersebut.
Keputusan undian Piala Suzuki AFF 2020. Kita jumpa Vietnam dan Indonesia lagi.
Pendapat anda?#AFFSuzukiCup2020 pic.twitter.com/Y9gwbxkTYq
— VOCKET FC (@vocketfc) September 21, 2021
Dengan berbaki dua bulan lebih sebelum kejohanan bermula, Cheng Hoe akan terus memantau para pemain terutama mereka yang akan diuji pada dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 ketika jendela perlawanan antarabangsa FIFA, awal Oktober ini serta prestasi mereka bersama kelab masing-masing sepanjang kempen TM Piala Malaysia 2021.
“Kita barisan jurulatih akan sentiasa memantau dari segi prestasi pasukan atau pemain-pemain kita. Pada masa sama kita juga perlu melihat persiapan pasukan negara-negara lain juga.
“Kita harap pemain-pemain yang dipanggil pada edisi kali ini akan dapat juga memberi sumbangan yang terbaik untuk skuad kebangsaan,” ujar Cheng Hoe.
Ditanya sasaran skuad Harimau Malaya bagi Piala Suzuki AFF 2020, Cheng Hoe berkata: “Sebagai jurulatih, kita mahukan sasaran yang terbaik setiap kali kita masuk pertandingan. Sudah tentu kita tak boleh ambil mudah perlawanan-perlawanan tersebut, kita tetap perlu fokus setiap perlawanan.”
Sepanjang 12 edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali pernah bergelar juara pada edisi 2010 ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal dan tiga kali muncul naib juara iaitu pada edisi 1996, 2014 dan 2018.
Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.
Jordan Dan Uzbekistan Uji Kekuatan Harimau Malaya Pada Bulan Oktober
Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports
FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya