Penjaring gol kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mauricio Nascimento, tidak mahu dirinya dijulang sebagai wira kerana apa yang menjadi keutamaan adalah kejayaan buat pasukannya meraih gelaran hatrik CIMB Piala Sumbangsih dengan keputusan 1-0 mengatasi Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat.
Walaupun mengakui detik itu kekal menjadi sesuatu yang istimewa kerana turut menjadi penjaring gol sulung di gelanggang baharu, Nascimento berasakan semua rakan telah berikan yang terbaik bagi memastikan kemenangan pasukan sekaligus menjamin tiga mata bagi aksi pertama CIMB Liga Super itu.
Malah dia sendiri turut bertindak cemerlang di barisan pertahanan menangkis serangan Kedah bagi memastikan kubu JDT kekal kebal sepanjang 90 minit pada aksi sulung skuad Harimau Selatan musim ini sekali gus diumumkan Pemain Terbaik Perlawanan.
“Sememangnya saya gembira dengan gol itu kerana hadir tepat pada waktunya di penghujung babak pertama malah kami dalam situasi getir kerana lawan berikan tentangan hebat sebelum jaringan tersebut mampu dihasilkan.
“Bagaimanapun saya rasa lebih teruja melihat gol itu membawa kemenangan kepada JDT serta semua pihak yang sentiasa di belakang pasukan malah saya cukup gembira melihat semangat sepasukan yang begitu baik dalam kalangan kami,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Nascimento bertindak cemerlang menanduk gol hantaran Gonzalo Cabrera pada minit-45 yang bermula daripada situasi sepakan sudut.
45' | GOL MAURICIO!@OfficialJohor membuka tirai jaringan di Stadium Sultan Ibrahim selepas tandukan Mauricio dos Santos menewaskan Ifwat Akmal.#CIMBPialaSumbangsih2020 #JDTKED#MFLLive pic.twitter.com/qoahBFVdCm
— MFL LIVE (@MFL_Live) February 28, 2020
Mengenai aksi Kedah, dia mengakui lawan tampil lebih bertenaga berbanding kali terakhir mereka di final TM Piala Malaysia tahun lalu.
“Perlawanan ini sebenarnya sangat sukar buat kami dan Kedah berikan tentangan sengit sepanjang perlawanan, jelas mereka sebuah pasukan berbeza pada musim ini.
“Saya harus ucapkan tanhiah kepada pasukan Kedah dan kehadiran beberapa pemain baharu terutama di bahagian serangan nyata meletakkan mereka semakin baik.
“Namun, persiapan intensif pasukan sejak beberapa minggu lalu nyata membuatkan kami benar-benar bersedia untuk hadapi aksi pada malam ini,” katanya.
Sebagai rekod, JDT juga muncul pasukan pertama dalam sejarah meraih kejuaraan hatrik CIMB Piala Sumbangsih sejak trofi ini diperkenalkan bermula tahun 1985.
Baca artikel lain mengenai perlawanan Piala Sumbangsih 2020 di sini:
Gol Tandukan Mauricio Bawa JDT Cipta Rekod Kejuaraan Piala Sumbangsih 3 Kali Berturut-Turut
Piala Sumbangsih: JDT Tawarkan 100 Tiket Edisi Terhad Tetamu Diraja Kepada Peminat Bertuah