Skuad sepak takraw Malaysia memulakan acara berpasukan dalam Kejohanan Piala Raja Thai 2023 dengan nota kemenangan apabila berjaya menundukkan Korea Selatan 3-0 di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan pertama menyaksikan Zharif Marican diletakkan sebagai tekong manakala Azlan Alias bertindak selaku perejam dan Farhan Adam (pengumpan) untuk menghadapi cabaran daripada Lee Woo Jin (tekong), Im An Soo (perejam) dan Kim Young Cheol (pengumpan).

Trio Korea Selatan itu pada mulanya beraksi dengan baik untuk mengikat kedudukan di mata 7-7, namun selepas itu mereka terpaksa melepaskan set pertama dengan 21-12 memihak Malaysia.

Cabaran lebih getir diberikan lawan tersebut pada set kedua dimana Korea Selatan mendahului 11-13. Tekanan itu bagaimanapun diserap dengan baik trio negara untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan keputusan 22-20.

Mata kemenangan Malaysia disahkan lebih awal oleh gandingan kedua apabila Hairul Hazizi (tekong), Shahalril Aiman (perejam) dan Aidil Aiman (pengumpan) tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan Lim Tae Gyun (tekong), Seonwoo Youngsoo (perejam), Jeong Won Deok (pengumpan) dengan keputusan 21-16, 21-12.

Meskipun sudah mengesahkan kemenangan penting itu, trio ketika terdiri daripada Meor Zulfikar (tekong), Noraizat Nordin (perejam) dan Muqlis Borhan (pengumpan) tetap memastikan mata ketiga turut menjadi milik Malaysia dengan 19-21, 21-17, 21-11.

Mereka menewaskan Lee Jae Sung (tekong), Jeong Hasung (perejam) dan Lee Min Ju (pengumpan).

Skuad negara akan meneruskan aksi peringkat kumpulan B esok dengan bertemu Indonesia dan Vietnam.