Sabah terlepas peluang untuk meraih kemenangan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 selepas terikat 2-2 bertemu Perak di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang berlangsung sebentar tadi.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana kelebihan dua kali berada dihadapan gagal dipertahankan.

Sabah tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila tandukan Darren Lok berjaya memperdayakan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran seawal minit kempat.

Tersentak dengan gol awal tersebut, pemain Perak tampil dengan lebih baik untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan skuad Sabah.

Ia jelas dibuktikan dengan serangan berbahaya dijelmakan pada minit kelapan dalam kawasan penalti tetapi rembatan leret Firdaus Saiyadi hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Sabah.

Kehampaan itu ditebus Perak berselang tiga minit kemudian selepas sepakan percuma Luciano Guaycochea terus menerjah gawang dikawal Khairul Fahmi Che Mat untuk kedudukan kembali terikat.

Sabah kemudiannya menggandakan asakan untuk kembali mendahului tetapi dua percubaan dimiliki Saddil Ramdani menerusi percubaan dalam kawasan penalti serta sepakan percuma diselamatkan dengan baik Shaheeswaran.

Tidak sampai seminit babak kedua bersambung, penyokong Sabah sekali lagi melonjak kegembiraan setelah Ramon Machado de Macedo menanduk masuk bola hasil hantaran Saddil.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Perak kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor.

Jaringan penting buat Perak itu hadir selepas Wan Zack meledakkan rembatan dalam kawasan penalti ketika situasi sepakan penjuru.

Permainan selepas itu menyaksikan Sabah lebih menguasai permainan dan dilihat bernafsu untuk menjaringkan gol tetapi semua usaha tersebut gagal menemui hasil diharapkan.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan dan peluang kedua-dua pasukan terbuka luas pada aksi kedua yang bakal berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 25 September nanti.