Jaringan Seo Seonung pada lewat permainan sudah cukup untuk membawa Perak ke suku akhir Piala Malaysia 2023 selepas berjaya menundukkan Kedah 4-3 menerusi agregat pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang lawan serta memiliki kelebihan dua gol ekoran kemenangan 3-1 di Ipoh tempoh hari, Perak menyerap tekanan dengan baik meskipun dibolosi dua gol.

Malah, skuad kendalian Yusri Che Lah itu juga mampu menghadirkan serangan balas pantas.

Lebih manis, Perak turut terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain ekoran kad merah yang dilayangkan kepada pemain gantian, Khairul Asyraf Ramli.

Perak hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan tetapi rembatan Seo Seonung hasil kesilapan Amirbek Juraboev diselamatkan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Penyokong pasukan pelawat melonjak kegembiraan pada minit ke-13, namun jaringan Luka Milunovic dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Tersentak dengan tekanan tersebut, Kedah memperkemaskan aksi untuk memberikan tekanan buat skuad kendalian Yusri Che Lah itu.

Ia jelas dibuktikan dengan percubaan tepat menerusi sepakan percuma oleh rembatan Manuel Hidalgo yang diselamatkan T. Shaheeswaran pada minit ke-23 dan berselang lima minit kemudian mendapat sepakan penalti.

Hidalgo yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menyempurkan peluang terhidang bagi meletakkan Kedah dihadapan.

Memasuki babak kedua, Perak semakin malang berikutan kad merah diterima Khairul Asyraf.

Kesempatan beraksi dengan lebih pemain itu digunakan sebaiknya oleh pertahanan, Mohd Akmal Md Zahir apabila rembatannya dari luar kawasan penalti membias terkena Jesper Nyholm lalu bola bergolek melepasi gawang pada minit ke-82.

Ketika Kedah semakin bersemangat untuk menambah jaringan, Seo Seonung membuatkan penyokong tuan rumah terdiam berikutan tandukannya hasil situasi sepakan percuma berjaya menewaskan Kalamullah.

Jaringan itu jelas sudah cukup buat Perak untuk mara ke suku akhir berbekalkan disiplin tinggi dipamerkan para pemain mereka.