Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 selepas menundukkan Perak 8-1 pada aksi kedua separuh akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Baca Juga:
- JDT Sumbang Hasil Jualan Tiket Kepada Tabung Kemanusiaan Palestin
- TMJ Perjelas Maksud Sebenar Tiga Bintang Pada Logo JDT
- Bergson Kekal Bersama JDT Musim Hadapan
Kemaraan ke final dengan agregat 12-2 itu sekali gus merintis kepada peluang buat JDT untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut serta keempat dalam sejarah kelab tersebut sebaik penjenamaan semula pada 2013.
Selepas bertahan dengan baik pada 10 minit awal permainan, Perak kemudiannya dibolosi seminit kemudian hasil jaringan Arif Aiman Md Hanapi.
Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia itu menggunakan kemahiran individu berkualiti tinggi dimilikinya untuk melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti lalu percubaan leretnya mudah menewaskan Farhan Majid di gawangnya.
Anak buah Esteban Solari itu menambah jaringan kedua pada minit ke-27 apabila percubaan kaki kiri Bergson da Silva terus menerjah gawang Perak.
Empat minit kemudian giliran Heberty Fernandes pula meletakkan nama selaku penjaring juga menerusi rembatan kaki kiri yang menewaskan Farhan.
Perak yang jelas tertekan menerima asakan bertubi-tubi barisan pemain JDT mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada masa kecederaan babak pertama tetapi tandukan Luka Milunovic dinafikan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.
Kelebihan tiga gol itu jelas membuatkan JDT semakin bernafsu untuk memburu jaringan pada separuh masa kedua.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka menambah lima lagi gol menerusi Fernando Forestieri (minit ke-52), Bergson (minit ke-60) dan Syafiq Ahmad ketika aksi memasuki minit ke-62 dan 77 serta Heberty.
Pemain gantian, Firdaus Ahmad Fuad menghadiahkan jaringan saguhati pada lewat permainan untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 8-1.
Menanti JDT di perlawanan akhir ialah pemenang antara KL City dan Terengganu yang akan beraksi malam esok di Gong Badak.