Perak melakar satu lagi kejutan apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 selepas menundukkan Sabah 1-0 (agregat 3-2) pada aksi suku akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong yang hadir ke Stadium Perak menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah tampil cukup bertenaga untuk memberikan kesukaran buat Sang Badak.

Pasukan pelawat bagaimanapun bermula baik dengan menguasai permainan dua percubaan pada minit ke-14 dan 16 menerusi R amon Machado dan Gabriel Peres tidak menemui sentuhan jaringan.

Enggan terus ditekan lawan, pemain Perak memperkemaskan aksi dengan menjelmakan beberapa percubaan ke arah pintu gol Sabah yang dikawal Damien Chien Khai Lim.

Ia bermula dengan rembatan dari luar kawasan penalti oleh Luka Milunovic yang ditepis keluar Damien Lim pada minit ke-32 dan penjaga gol itu turut cemerlang menafikan sepakan percuma ketua pasukan, Luciano Guaychochea berselang lima minit kemudian.

Kemudian, giliran Seo Seonung pula kecewa setelah percubaannya daripada jarak dekat sekadar singgah di palang gol dan tandukan pada minit ke-42 sedikit melewati palang gol.

Kehampaan itu ditebus Perak pada masa kecederaan babak pertama apabila Wan Zack Haikal Wan Nor mengambil kesempatan hantaran Sunday Afolabi untuk merembat masuk jaringan pertama buat tuan rumah.

Perak hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-60 tetapi percubaan leret Wan Zack ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti Sabah digagalkan Damien.

Sabah yang berhempas-pulas memburu jaringan penyamaan turut terlepas peluang keemasan pada minit ke-74 selepas percubaan menewaskan penjaga gol terkena palang gol.

Tekanan hebat diberikan Sabah itu dikekang dengan cukup baik barisan pertahanan untuk menghadiahkan slot ke separuh akhir buat juara edisi 2018 itu.

Tugas berliku bakal menanti Perak di separuh akhir apabila dijadualkan bertemu juara bertahan yang merupakan gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).