Dua jaringan Ivan Mamut memastikan kemaraan Terengganu ke final Piala Malaysia 2023 selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City 2-1 pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.

Kemenangan dengan agregat 4-2 itu sekali gus mengesahkan pertemuan final Terengganu menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung pada 9 Disember.

Beraksi dihadapan lebih 25,000 penyokong setia yang hadir, anak buah Tomislav Steinbruckner tampil dengan cukup garang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin.

Ia jelas dibuktikan dengan beberapa percubaan berbahaya dijelmakan pasukan tuan rumah terutamanya menerusi Liridon Krasniqi dan Sony Norde.

Liridon mendapat peluang pada minit ke-10 menerusi percubaan daripada luar kawasan penalti tetapi rembatannya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol yang dikawal Kevin Ray Mendoza Hansen.

Empat minit kemudian, giliran Sony pula mengancam gawang lawan susulan kesilapan pemain pertahanan, namun percubaannya dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol skuad kebangsaan Filipina tersebut.

Kevin Ray terus dipaksa bekerja keras untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi setelah beliau cemerlang menafikan rembatan ketua pasukan, Habib Haroon pada minit ke-16.

Ketangkasan penjaga gol berusia 29 tahun itu terhenti pada min it ke-42 selepas gagal menafikan percubaan kaki kiri leret susulan ‘turning’ baik oleh Ivan Mamut bagi menceriakan penyokong Terengganu.

Kelebihan itu dipadamkan KL City pada minit ke-51 selepas Romel Morales menanduk masuk bola hantaran Haqimi Azim Rosli yang terlebih dahulu membias terkena kaki pertahanan tuan rumah.

Mamut terus membuktikan kemampuan hebat dimilikinya ketika aksi memasuki minit ke-67 apabila rembatannya dari luar kawasan penalti sekali lagi gagal diselamatkan Mendoza.

Meskipun kedua-dua pasukan meneruskan aksi bertenaga selepas jaringan tersebut, kedudukan 2-1 kekal memihak Terengganu untuk membawa mereka ke perlawanan akhir.

Berdasarkan rekod, Terengganu pernah bergelar juara Piala Malaysia edisi 2001 manakala lima kali muncul selaku naib juara.