Sabah terpaksa menanti sehingga ke penentuan masa tambahan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 apabila menang 2-1 keatas Kuching City FC menerusi agregat, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Irfan Fazail: Beraksi Di Tempat Sendiri Tingkatkan Moral Sabah
- Piala Malaysia 2022: Kuching City Sedia Kejutkan Sabah Di Likas
- Isteri Cari Rumah Di Kota Kinabalu, Darren Lok Bakal Sertai Sabah?
Aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu terpaksa bermula lewat 45 minit ekoran keadaan padang yang kurang baik untuk permainan dimulakan susulan hujan lebat turun sejak dari petang.
Keadaan padang becak itu bagaimanapun tidak langsung menghalang kedua-dua pasukan untuk mempamerkan corak permainan bertenaga bagi memburu jaringan diharapkan.
Meskipun Sabah memiliki kelebihan satu gol, aksi pada 15 minit awal menyaksikan pasukan pelawat menguasai permainan dan memperolehi tiga peluang terbaik menerusi Abu Kamara, Amir Amri Salleh dan Mohammad Hidhir Idris.
Namun penjaga gol Sabah, Damien Chien Khai Lim cemerlang untuk menafikan gawangnya daripada dibolosi pada minit keempat, sembilan dan ke-12.
Berselang empat minit kemudian, giliran Baddrol Bakhtiar pula mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan tetapi tandukan jarak dekat ketika hanya berhadapan dengan Shaiful Wazizi Mohammad diselamatkan penjaga gol berusia 24 tahun itu.
Aksi bertambah menarik pada minit ke-20 apabila Abu Kamara berjaya membocori gawang Sabah tetapi tandukannya terlebih dahulu dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Shaiful Wazizi sekali lagi terpaksa bekerja keras untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi apabila tandukan ke belakang cuba dilakukan pemain pertahanan, Aylton Ferreira Ananias melantun menuju ke arah pintu golnya pada minit ke-24.
Permainan bertambah menarik pada babak kedua terutamanya deretan percubaan dijelmakan oleh anak buah Irfan Bakti Abu Salim tetapi Damien cemerlang dalam mengemudi gawangnya.
Kekentalan penjaga gol itu akhirnya terhenti pada minit ke-84 selepas gawangnya dibolosi susulan bola sepakan sudut daripada Mohamad Aliff Hassan membias terkena Ummareng Bacok lalu memberikan peluang buat Kuching City FC memecah kebuntuan.
Gol penting itu bukan sahaja kembali menyamakan kedudukan agregat malah turut mengheret aksi kedua-dua pasukan ke penentuan masa tambahan.
Pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama muncul wira buat Sabah apabila tandukan bebas dilakukannya dalam kawasan penalti pada minit ke-97 setelah menerima hantaran jauh Saddil Ramdani hanya mampu dipandang Shaiful Wazizi.
Dua pemain Kuching City FC, Joseph Kalang Tie dan Aylton Ferreira seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana mereka gagal menyempurnakan peluang keemasan dihadapan pintu gol Sabah.
Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan sekali gus mengesahkan pertemuan separuh akhir Sabah menentang finalis musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT).