Aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Perak di Stadium Shah Alam malam ini dijangka berlangsung dengan sengit kerana kedua-dua pasukan masih berpeluang rebut tiket beraksi di peringkat separuh akhir.

Walaupun Perak mempunyai kelebihan jaringan 1-0 namun ia tidak mematahkan semangat pemain Selangor untuk bangkit mempamerkan aksi terbaik di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Pengendali Selangor, B. Satiananthan menegaskan anak buahnya sudah bersedia dari segi mental dan berazam untuk memadam kelebihan jaringan yang dimiliki oleh skuad kendalian Mehmet Durakovic itu.

“Selama latihan ini, saya lebih memberi penekanan kepada aspek mental pemain kerana kami masih boleh bangkit walaupun Perak ada kelebihan satu gol dalam tangan. Di tahap ini, karakter dan mental pemain memainkan peranan besar dan saya harap kami akan bangkit dan cuba meraih gol sambil tidak dibolosi.

“Kalau kami bolos, mungkin situasi lebih sukar kerana kami kena cari tiga gol pula memandangkan saingan menggunakan peraturan gol tempat lawan,” katanya kepada Arena Metro.

70959519_3040402062698931_4291723221301985280_n
Aksi pemain Selangor menentang Perak pada minggu lepas. FOTO: FA Selangor

Satiananthan juga berharap tonggak tengah pasukannya, Sandro Mendonca kembali memperkuatkan pasukan kerana khidmat pemain dari Brazil itu sangat ditagih untuk menyusun gerakan serangan Selangor.

“Iya, saya harap Sandro akan bermain malam esok (ini) dan kalau ikutkan dalam latihan pagi ini dia macam OK. Esok kita akan lihat lagi dan jika dia tak mengadu apa-apa (kesakitan) kami akan turunkan dia bagi membantu bahagian serangan,” katanya.

Perak dijangka akan mempertaruhkan gandingan penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri dengan Ronaldo Henrique Silva untuk merobek gawang gergasi merah.

“Jadi saya harap para pemain dapat memberi tumpuan terhadap permainan kita dan tidak boleh takut kerana sekiranya mereka takut maka kita bakal mengundang padah. Pemain perlu tenang dan fokus serta memberikan aksi terbaik masing-masing.

“Malah kita juga perlu beraksi sebagai sebuah pasukan ketika bertahan dan menyerang. Apa pun kita juga perlu menghormati kemampuan pasukan lawan kerana mereka juga memiliki barisan pemain yang luar biasa seperti Ronaldo, Shahrel Fikri dan juga Shahrul Saad,” tambahnya.

Lagi artikel menarik berkaitan dengan perkembangan Piala Malaysia 2019, klik pautan dibawah.

Piala Malaysia 2019: Pahang Jumpa Melaka Tanpa Tiga Tonggak Utama

Piala Malaysia 2019: JDT Pasukan Pertama Tempah Tiket Separuh Akhir

Sumber