Ketua pasukan Selangor MAC, Muhammad Fariq Mohammad menyedari bahawa bukan mudah buat beliau dan rakan sepasukannya untuk menjulang Piala Futsal Malaysia 2022 yang bakal berlangsung pada Sabtu nanti.
Juara dua kali berturut-turut Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) itu akan berhadapan dengan satu lagi pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman, Pahang Rangers dan perlawanan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam tersebut pastinya bakal menjanjikan aksi menarik.
Seperti diketahui, Pahang Rangers diperkuatkan dengan kehadiran penjaga gol tinggi lampai dari Brazil, Victor Nesello Espindola serta barisan pemain kebangsaan diketuai Abu Haniffa Hassan, Saiful Nizam Mohd Ali, Ridzwan Bakri, Awalluddin Mat Nawi dan Muhammad Farhan Khairul Anuar.
Meskipun sedar dengan hakikat tersebut, Fariq yang melihat kemampuan serta komitmen tinggi ditampilkan anak buahnya mampu untuk memberikan satu lagi kejayaan buat Selangor MAC sekali gus muncul juara sulung Piala Futsal Malaysia.
“Saya merasakan satu permainan yang agak sengit bakal dipertontonkan nanti kerana dari segi corak permainan dan pemain rata-rata mempunyai pengalaman yang cukup luas,” ujar Fariq bercakap kepada wakil Vocket FC.
“Tambahan pula dengan kehadiran jurulatih dan pemain dari luar negara yang membantu memperkuatkan pasukan masing-masing. Saya dapat merasakan satu permainan yang berkualiti dan intensiti tinggi nanti.”
“Bagi kami [Selangor MAC], beban memang dirasakan untuk meraih kejuaraan. Ia bukanlah perkara yang mudah. Sebelum ini juga kami berdepan situasi yang sama apabila dalam saingan MPFL.”
“Jurang mata dengan Pahang Rangers begitu rapat tetapi saya percaya pemain dan pengurusan sudah pun melalui pengalaman seperti ini dan dapat mengawal segalanya dengan baik.”
“Harapan kami semestinya untuk menjulang Piala Futsal Malaysia untuk edisi pertama kalinya. Saya berharap juga setiap pemain dapat beri persembahan yang terbaik dan berkualiti tinggi untuk industri futsal tanah air.”
“Tetapi seperti kebiasaan sudah pastinya ada tekanan dirasai. Untuk menangani tekanan minggu ni saya cuma tekankan pada pemain untuk fokus hanya pada perlawanan sahaja.”
“Sekiranya ada masalah di luar atau sebaliknya perlu diselesaikan segera. Emosi keluarga dan sistem sokongan dari para pemain juga haruslah berada di tahap yang baik dan setiap pemain perlu bekerja keras dan selebihnya kami berserah pada Allah,” tambah Muhammad Fariq lagi.