Bintang Timur Surabaya (BTS) mengekang dengan baik tekanan diberikan wakil Vietnam, Sahako FC untuk mencatatkan kemenangan 2-1 sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Terminal 21, Nakhon Ratchasima sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemaraan skuad kendalian Hector Souto Vazquez itu menjadikan mereka sebagai pasukan pertama dari Indonesia yang berjaya membuat penampilan di aksi final.

Sahako hampir mengejutkan BTS beberapa saat selepas aksi dimulakan apabila Khong Dinh Hung merampas bola di bahagian tengah dan kemudiannya meluru pantas ke hadapan pintu gol lawan.

Bagaimanapun, percubaannya ketika hanya berhadapan dengan Nazil Purnama diselamatkan dengan baik penjaga gol berusia 30 tahun itu.

Seminit kemudian giliran pemain import BTS pula menguji gawang Sahako selepas Vahid Shafei melakukan rembatan dari jauh yang ditepis keluar penjaga gol, Chau Thach Khanh.

Sunny Rizky Suhendra meletakkan BTS dihadapan pada minit keenam selepas beliau mudah menolak masuk bola selepas menerima umpanan lintang daripada Alfajri Zikri yang berjaya merampas bola daripada kaki Duong Ngoc Linh.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Edison Machado Coelho menjadikan kedudukan 2-0 hasil ledakan dari luar kawasan D untuk menewaskan Chau Thach, berselang seminit kemudian.

Selepas itu, anak buah Nguyen Tuan Anh tampil dengan lebih baik untuk merapatkan defisit jaringan tetapi Nazil Purnama dan rakan sepasukannya kental bertahan.

Tekanan tersebut berterusan pada babak kedua dan usaha Sahako membuahkan hasil pada minit ke-27 selepas percubaan Ngoc Linh dari sebelah kanan pintu gol BTS berupaya membolosi Nazil.

Taktikal ‘Power Play’ yang digunakan Sahako FC pada lewat permainan masih tidak mampu untuk menghasilkan jaringan penyamaan bagi mengesahkan kemaraan Bintang Timur Surabaya ke final.

Menanti juara Liga Profesional Futsal Indonesia itu di perlawanan akhir ialah pemenang antara pasukan tuan rumah, Hongyen Thakam dan Selangor MAC yang akan beraksi sebentar nanti.