Sri Pahang akhirnya mengalami kekalahan pertama musim ini apabila dibelasah Selangor 4-0 dalam aksi pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dalam perlawanan ini, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad membuat kejutan apabila menurunkan 5 pemain pertahanan iaitu Shezod Faziyev, Michael Glassock, Nick Swirad, Azrif Nasrulhaq dan Syazwan Andik.

Manakala Selangor beraksi dengan formasi 4-3-3 tanpa khidmat 2 tonggak utama iaitu Noor Rawabdeh dan Shahrul Nazeem kerana belum cergas sepenuhnya.

Sejak dari minit awal permainan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu lebih banyak menyerang dan kerap melakukan percubaan berbahaya ke pintu gol lawan.

Tok Gajah pula tampak bergelut dengan formasi 5-4-1 dan hanya bergantung pada Kpah Sherman untuk melakukan serangan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke 41, stadium MBPJ bergema dengan sorakan penyokong Selangor apabila rembatan Mukhairi Ajmal menghasilkan gol pertama yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol tok gajah, Izham Tarmizi.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun Sri Pahang mula mengubah formasi kepada 4-4-2 di separuh masa kedua dengan memasukkan penyerang import, Lucas Silva menggantikan tempat Sherzod Faziyev.

Bagaimanapun, percaturan itu tidak menghalang Selangor untuk terus menambah gol kedua menerusi rembatan lencong Mukhairi Ajmal yang mudah menewaskan Izham Tarmizi pada minit ke 58.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat pemain Selangor untuk terus mengandakan asakan dan kali ini giliran Faisal Halim mencetak nama sebagai penjaring ketiga apabila menolak masuk pada minit ke 67 dalam situasi kelam kabut.

5 minit kemudian, Brendan Gan pula melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti yang tidak mampu diselamatkan oleh Izham Tarmizi.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan kekalahan pertama kepada Sri Pahang dalam Liga Malaysia musim ini.

Dengan kemenangan tersebut, Selangor bakal berdepan Negeri Sembilan di peringkat suku akhir.

Berdasarkan format pertandingan Liga M, slot kedua Piala AFC akan diberikan kepada juara Piala FA musim ini.