Dua aksi menarik bakal dapat disaksikan pada pusingan pertama Piala FA Malaysia 2023 apabila Kedah telah diundi untuk berhadapan dengan Penang manakala Perak pula akan menanti kunjungan Sri Pahang.
Baca Juga:
- Penyokong Terengganu ‘Habiskan’ Semua Tiket Final Piala FA
- Piala FA 2022: Rahadiazli Bawa Terengganu Mara Ke Final Jumpa JDT
- Piala FA 2022: Terengganu Tak Berupaya Halang Pesta JDT
Kedah, Penang, Sri Pahang dan Perak bukan sahaja berwajah baharu untuk menghadapi musim 2023, malah keempat-empat pasukan merupakan bekas juara saingan yang mula dipertandingan pada tahun 1990 itu.
Undian yang dilakukan oleh legenda bola sepak negara, Azman Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Football League, Stuart Ramalingam itu baharu sahaja dilangsungkan sebentar tadi.
Baki dua lagi perlawanan pusingan pertama melibatkan pasukan dalam kempen Liga M3 iaitu Kuala Kangsar BRM FC dengan Imigresen FC serta Manjung City menentang SAINS FC.
Sementara itu, 10 lagi pasukan Liga Super yang diketuai juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya akan beraksi pada pusingan kedua.
Hal ini kerana format undian Piala FA 2023 itu menetapkan bahawa pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di enam kedudukan terbaik pada musim lalu iaitu JDT, Terengganu, Sabah, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur mendapat laluan automatik ke pusingan kedua bersama-sama dua pasukan teratas Liga Premier, Kelantan dan Kuching City.
Manakala Kedah, Sri Pahang dan Penang serta tiga pasukan Liga Premier musim lalu, Kelantan United, PDRM FC , Perak perlu mengharungi aksi pusingan pertama terlebih dahulu sekiranya tidak mendapat ‘bye’.
Tuah nyata memihak Shah Alam PIB FC, Melaka FC, PDRM dan Kelantan United yang mendapat ‘bye’ tetapi berdepan laluan sukar di pusingan kedua kerana akan berdepan lawan dari Liga Super.
Melaka FC yang bakal beraksi dalam Liga M3 musim ini perlu berhadapan dengan Terengganu, Kelantan United bakal berkunjung ke Likas untuk bertemu Sabah, Shah Alam PIB menentang Negeri Sembilan dan ujian terbesar buat PDRM dimana akan menghadapi JDT.
JDT muncul juara musim lalu selepas berjaya menundukkan Terengganu 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.