Skuad kebangsaan Singapura mungkin kehilangan khidmat Ilhan Fandi berdepan Harimau Malaya apabila penyerang muda itu mengalami kecederaan lutut ketika menentang Vietnam di Stadium Jalan Besar semalam.
Baca Juga:
- Analisis: Vietnam Bergantung Chain Of 5 & Memanfaatkan Peluang
- Park Hang Seo Tidak Faham Kenapa Singapura Pilih Padang Tiruan
- Pemain Naturalisasi Jaringkan Gol, Media Singapura Ini Perli Malaysia
Ketika bergelut bersama pemain Vietnam untuk mendapatkan bola di depan gol lawan, Ilhan tergelincir lalu jatuh dan kemudian memegang lututnya dalam kesakitan.
Beliau juga dilihat menangis tetapi berjaya bangkit untuk meneruskan perlawanan selepas lututnya dibalut. Keberanian beliau untuk kembali beraksi bagaimanapun tidak bertahan lama.
Ilhan yang jelas kelihatan kecewa sambil menggelengkan kepalanya, dikeluarkan seminit sebelum tamat separuh masa pertama dan digantikan oleh Shawal Anuar pada babak kedua.
Para pemerhati bola sepak Asia Tengara berpendapat insiden tersebut berpunca daripada padang tiruan yang sebelum ini turut menyebabkan abangnya, Ikhsan Fandi mengalami kecederaan lutut dalam kawasan yang sama ketika aksi persahabatan menentang Maldives dua minggu lalu.
Ikhsan telah menjalani pembedahan bagi kecederaan itu dan turut terlepas beraksi dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. Selain Ikhsan, mereka juga kehilangan khidmat Adam Swandi.
We gotta stop putting our own players in constant danger with this pitch in jalan besar. Now we lose another big player in Ilhan Fandi. If sportshub is not gonna be available, which other stadium can we consider?
— Fauzie Laily (@FauzieLaily) December 30, 2022
Ilhan looks to be the latest “victim”. So when will we decide enough is enough? When will we accept that the pitch poses a danger to our players ? Is there a minimum number of injuries to be met ?
— Deepanraj Ganesan (@deeppaann) December 30, 2022
Dalam perlawanan itu, jurulatih Singapura Takayuki Nishigaya membuat lima perubahan pada barisan pemainnya daripada kemenangan 2-0 ke atas Laos pada Selasa lalu.
Shakir Hamzah, Christopher Van Huizen, M. Anumanthan dan Shah Shahiran kembali diturunkan dalam kesebelasan utama, manakala Ryhan Stewart mendapat kepercayaan Nishigaya untuk memulakan perlawanan buat pertama kali dalam Piala AFF.
Nishigaya menyusun formasi 5-4-1 yang defensif menentang pasukan Vietnam, yang mempunyai jentera serangan lebih kuat. Strategi itu berhasil apabila benteng Singapura kekal teguh walaupun Vietnam mengatur serangan bertubi-tubi.
Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan satu mata berharga kepada kedua-dua pasukan. Singapura hanya memerlukan keputusan seri berdepan Malaysia pada selasa ini untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.
Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo menegaskan lebih ramai pemain akan mengalami kecederaan jika mereka beraksi di padang tiruan yang tidak diiktiraf oleh FIFA.
“Padang tiruan di Stadium Jalan Besar bukanlah salah satu padang yang direkomenkan oleh FIFA kerana ia mampu menyebabkan kecederaan pada pemain.
“Apa boleh buat, peraturan kejohanan Piala AFF 2022 menyatakan penggunaan padang tiruan masih dibenarkan. Saya fikir ia akan memberi kelebihan kepada para pemain Singapura kerana sudah biasa beraksi di situ,” katanya ketika sidang media.