Skuad Harimau Malaya bakal menentang Myanmar dalam perlawanan pertama kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijadualkan berlangsung esok di Stadium Thuwanna.

Baca Juga:

Mereka berdepan sedikit cabaran apabila tempat latihan yang disediakan oleh pihak tuan rumah tidak begitu memuaskan. Permukaan padang tidak rata dan berlubang boleh mendatangkan risiko kecederaan kepada pemain.

Malah, gambar pemain melakukan regangan otot di ruang sempit bersebelahan ‘mesin’ jentera penggelek jalan turut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan sehingga tular di media sosial.

Walaupun ia sekadar gambar, namun peminat sempat mengusik dengan berpendapat ia membawa maksud tersirat berkaitan isu pelepasan pemain JDT ke skuad kebangsaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua jurulatih, Kim Pan-gon tetap menghormati kesungguhan tuan rumah menyediakan kemudahan kepada pasukannya dan pemain kelihatan cukup bersemangat menjalani latihan disebalik kesukaran itu.

“Saya kena hormat FA Myanmar, tidak boleh ada rungutan dan kami kena cuba sesuaikan diri. Kami tidak boleh mengeluh dengan jiran kerana yakin mereka sudah mencuba sehabis baik,” katanya seperti dipetik dalam Arena Metro. 

FOTO: FAM

Mengulas mengenai pertemuan menentang Myanmar, Kim Pan-gon yakin dengan kemampuan anak buahnya walaupun Malaysia mempunyai rekod yang baik ke atas pasukan di ranking 158 dunia itu.

“Aksi di tempat lawan sentiasa sukar, sudah tentu tuan rumah akan gunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Saya tak peduli rekod lalu, kami hanya fokus kepada persiapan kami. Pasukan sentiasa mahu berikan persembahan terbaik, jadi saya percaya pemain sudah bersedia.

“Saya yakin mereka akan tampilkan persembahan terbaik” katanya ketika sidang media.

Selepas menentang Myanmar, Malaysia akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.

Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.