Vietnam tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan sulung dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 apabila juara bertahan itu menundukkan Laos 2-0 pada perlawanan kumpulan B yang berlangsung di Stadium Bishan, sebentar tadi.

Turun selaku pasukan terbaik di benua Asia Tenggara (ASEAN) sudah memberikan gambaran jelas bahawa skuad kendalian Park Hang-seo itu akan mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan.

Ia jelas dibuktikan apabila barisan pertahan serta penjaga gol Laos, Keo-Oudone Souvannasangso dipaksa bekerja keras dalam menangkis asakan hebat dijelmakan Vietnam.

Jaringan pembukaan Vietnam hadir pada minit ke-26 selepas Nguyen Cong Phuong mudah menolak masuk hantaran lintang dilakukan Nguyen Phong Hong Duy yang melepasi perangkap ofsaid ketika menerima umpanan cantik Nguyen Hong Duc.

Penguasaan secara total yang dimiliki Vietnam selepas itu gagal untuk mengubah kedudukan untuk jaringan Cong Phuong memisahkan kedua-dua pasukan sehingga tamat babak pertama.

Aksi separuh masa kedua lebih menarik untuk disaksikan apabila Laos juga dilihat memperkemaskan corak permainan bagi kembali menyamakan kedudukan.

Namun ia tidak menjejaskan rentak Vietnam yang menambah jaringan kedua pada minit ke-55 menerusi tandukan Phan Van Duc susulan hantaran menarik dari sebelah kiri pintu gol Laos dilakukan Ho Tan Tai.

Pemain Laos yang berkelana ke Perancis, Billy Ketkeophomphone mendapat dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan tetapi tandukannya pada minit ke-64 mudah ditangkap penjaga gol, Tran Nguyen Manh.

Nguyen Mahn turut cemerlang selepas beliau menafikan percubaan ketika Billy hanya berhadapan dengannya ketika perlawanan memasuki minit ke-72.

Tiga minit kemudian, Vietnam terlepas peluang untuk menambah jaringan apabila sepakan penalti Vu Van Thanh di sebelah kanan pintu gol berjaya dinafikan Keo-Oudone.

Keo-Oudone terus menjadi penghalang kepada usaha Van Thanh untuk meletakkan nama selaku penjaring gol berikutan aksi cemerlangnya dalam menafikan percubaan voli pemain berusia 25 tahun itu.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Vietnam di tangga kedua saingan kumpulan B, hanya kekurangan satu jaringan di belakang Malaysia yang ketika ini menghuni tangga teratas.