Thailand meraih kemenangan kedua dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 apabila berjaya menundukkan Myanmar 4-0 pada aksi kumpulan A yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Skuad kendalian Alexandre Polking itu nyata sukar digugat selepas mendominasi sebahagian besar permainan serta banyak mencipta percubaan tepat ke kubu Myanmar yang dikawal Myo Min Latt.
Jaringan pembukaan skuad ‘Gajah Perang’ itu hadir pada minit ke-23 selepas percubaan rendah dari luar kawasan penalti dilakukan peledak berbisa, Teerasil Dangda hasil hantaran lintang kemas dari Narubadin Weerawatnadom berjaya membolosi gawang lawan.
Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Thailand dan mereka hampir menambah jaringan berselang tujuh minit kemudian menerusi Manuel Bihr.
Tandukan pemain kacukan itu setelah beliau menerima umpanan cantik daripada sepakan percuma Theerathon Bunmathan bagaimanapun ditepis Min Latt menggunakan kakinya untuk menyelamatkan keadaan.
Teerasil kemudiannya mudah menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-53 untuk melebarkan kedudukan sekali gus menyamai pencapaian penyerang Singapura, Noh Alam Shah sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Piala AFF Suzuki dengan 17 gol.
Penyerang berusia 33 tahun itu mampu untuk melengkapkan hatrik pada perlawanan ini tetapi penyudahnya selepas itu kurang berkesan meskipun mendapat tiga peluang terbaik untuk menambah koleksi jaringannya.
Myanmar yang sesekali memberikan ancaman ke kubu Thailand juga turut hampa dengan kegagalan jentera serangan untuk menyempurnakan peluang terhidang.
Dua lagi jaringan Thailand hadir menerusi duo pemain gantian, Worachit Kanitsribampen dan Supachok Sarachat untuk memastikan perlawanan berakhir dengan perbezaan empat gol tanpa balas.
Kemenangan kedua yang dilakarkan itu melonjakkan Thailand di tangga teratas, terikat enam mata bersama Singapura tetapi juara lima kali itu memiliki kelebihan jaringan.