Thailand berjaya mengekang tekanan hebat ditampilkan Vietnam untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020 selepas terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Keputusan seri itu sudah cukup untuk membawa Thailand ke perhitungan akhir buat kali kesembilan selepas mereka menang 2-0 pada perlawanan pertama tempoh hari.
Kemaraan itu juga sekali gus menyaksikan Thailand dapat menebus kehampaan gagal ke pentas final edisi lalu selepas tunduk di tangan Malaysia pada aksi separuh akhir.
Ketika Thailand dilihat sedikit menguasai permainan sepanjang 90 minit aksi tetapi Vietnam yang ketinggalan dua gol lebih banyak menjelmakan serangan berbahaya ke kubu skuad kendalian Alexandre Polking itu.
Bagaimanapun, barisan pemain Thailand yang diketuai Chanathip Songkrasin jelas cukup berdisiplin dalam mengekalkan kelebihan dimiliki untuk memastikan Park Hang-seo dan anak buahnya berputih mata..
Vietnam mendapat peluang terbaik seawal minit keempat perlawanan tetapi rembatan dalam kawasan penalti diledakkan Nguyen Quang Hai ditangkap kemas penjaga gol, Chatchai Bootprom.
Tonggak Vietnam itu terus memberikan ancaman besar buat Thailand apabila sepakan percuma yang diambilnya dari jarak jauh terus menuju pintu gol tetapi penjaga gol gantian, Siwarak Tedsungnoen bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut pada minit ke-37.
Selepas itu giliran Ho Tan Tai pula terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol apabila tandukannya susulan sepakan sudut ketika beliau tidak dikawal hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Thailand.
Thailand yang sesekali mencuri ruang untuk melancarkan serangan mendapat peluang pertama pada masa kecederaan babak pertama tetapi rembatan jarak dekat Theerathon Bunmathan diselamatkan Tran Nguyen Manh.
Memasuki babak kedua, Vietnam terus bernafsu untuk mendapatkan jaringan dengan menjelmakan beberapa percubaan menarik tetapi Siwarak masih kental bertahan untuk menggagalkan setiap usaha lawan mereka itu.
Kebuntuan jaringan tersebut kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan juara lima kali itu menempah pertemuan final bertemu Indonesia pada 29 Disember dan 1 Januari nanti.
Edisi 2016 juga menyaksikan kedua-dua pasukan bertemu di perlawanan akhir yang menyaksikan Thailand menang dengan keputusan agregat 3-2.