Thailand menamatkan saingan peringkat kumpulan A Piala AFF Suzuki 2020 di tangga teratas selepas berjaya menundukkan Singapura, 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, sebentar tadi.
Turun dengan skuad yang boleh diibaratkan sebagai pasukan kedua berikutan langkah Alexandre Polking merehatkan tonggak utamanya dilihat langsung tidak langsung menggugat kemampuan hebat dimiliki Thailand.
Bagaimanapun, barisan pemain Thailand kelihatan sedikit bergelut pada awal permainan dengan menyaksikan Singapura lebih mengawal permainan dan mencipta ruang mengasak ke kubu lawan.
Peluang dimiliki Safuwan Baharudin serta Hami Syahin pada minit ke-11 dan berselang enam minit kemudian dinafikan dengan baik penjaga gol veteran, Siwarak Tedsungnoen.
Ketika Singapura kelihatan bermula dengan garang, Thailand membuatkan para penyokong tuan rumah terdiam pada minit ke-31 apabila pemain pertahanan, Yusef Elias Dolah menjaringkan gol pembukaan.
Bermula daripada sepakan percuma Bordin Phala ditepis Hassan Sunny, namun Elias berada di tempat yang tepat untuk menolak masuk bola bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Jaringan tersebut nyata meningkatkan moral para pemain Thailand yang tampil dengan lebih meyakinkan untuk terus memberikan masalah buat jentera pertahanan Singapura.
Ia jelas dibuktikan apabila Thailand mendapat dua peluang berturut-turut di dalam kawasan penalti Singapura menerusi Suphacai Chaided dan Thitiphan Puangchan. Percubaan dalam tempoh dua minit itu bagaimanapun dinafikan dengan baik Hassan Sunny.
Ketika para pemain sudah berkira-kira untuk melangkah masuk ke bilik persalinan bagi rehat separuh masa pertama, Suphacai melebarkan kedudukan selepas rembatannya susulan lorongan Worachit Kanitsribampen gagal diselamatkan Hassan.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan meskipun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mengubah kedudukan bagi memastikan Thailand menamatkan peringkat kumpulan dengan rekod 100 peratus kemenangan.