Singapura meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020 apabila merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Filipina pada aksi kedua yang berlangsung di Stadium Nasional, sebentar tadi.
Corak permainan keras ditampilkan kedua-dua pasukan terutamanya pada babak pertama sehingga menyebabkan ketua pasukan Filipina, Stephan Schrock ‘diboo’ setiap kali beliau mengawal bola.
Selain daripada aksi fizikal dipertontonkan, tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi di babak pertama walaupun Singapura dilihat lebih kerap mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
Rembatan dalam kawasan penalti yang dinafikan Kevin Ray Mendoza Hansen seawal minit kelima dan percubaan Shakir Hamzah menjadi antara peluang keemasan yang dicipta pada 45 minit awal.
Corak permainan lebih menarik dapat disaksikan pada separuh masa kedua dengan jumlah jaringan serta percubaan yang berjaya dihasilkan.
Ia dibuktikan dengan jaringan pembukaan yang dihasilkan skuad kendalian Tatsuma Yoshida itu pada minit ke-61 selepas tandukan ketua pasukan, Harris Harun.
Tidak dikawal pemain pertahanan Filipina, Harris mengambil kesempatan tersebut untuk menyempurnakan hantaran tandukan dilakukan Safuwan Baharudin ketika situasi sepakan sudut yang diambil Zulqarnaen Suzliman.
Penyokong tuan rumah sekali lagi melonjak kegembiraan berselang tiga minit kemudian apabila serangan balas pantas dimulakan Zulqarnaen disudahkan dengan cukup baik Faris Ramli bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Ikhsan Fandi hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-67, namun ledakannya dari luar kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Filipina.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-69, Amin Nazari mengurangkan defisit jaringan selepas beliau berjaya menanduk masuk bola susulan sepakan sudut diambil Kevin Ingreso.
Permainan selepas itu bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan jaringan yang diharapkan dan Singapura terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi rembatan Song Ui-young dinafikan Kevin Mendoza.
Filipina juga hampa dengan dua percubaan menarik dimiliki terutamanya menerusi penyerang gantian, Angel Guirado apabila penjaga gol, Hassan Sunny begitu kental bertahan untuk memastikan Singapura meraih kemenangan kedua.