Safawi Rasid menjadi watak utama dalam membantu Malaysia membelasah Laos 4-0 pada aksi kedua saingan kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Pemain lincah itu menjawab kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini dengan ledakan hatrik untuk menjelmakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara.

Kemenangan penting itu juga menyaksikan skuad negara terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas saingan kumpulan B apabila pencabar terdekat, Vietnam tidak beraksi pada hari ini.

Tiga pemain muda,  Arif Aiman Mohd Hanapi, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal Mahadi mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe untuk diletakkan sebagai pemain di kesebelasan utama.

Laos bagaimanapun bermula dengan baik dengan mengawal permaianan serta beberapa kali menguji kubu skuad negara yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Ia jelas dibuktikan apabila Billy Ketkeophomphone dan Nalongsit Chanhthalangsy membuatkan penjaga gol berusia 32 itu sedikit bekerja keras untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Namun, tekanan itu langsung tidak merentap semangat barisan pemain negara yang berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ketujuh perlawanan.

Berpunca daripada larian deras Arif Aiman yang berjaya merampas bola dari kaki pertahanan Laos di kawasan tengah. Beliau kemudiannya melakukan lorongan kemas buat Safawi Rasid yang tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola bagi meletakkan Malaysia di hadapan.

Kedudukan sekali lagi berubah ketika permainan memasuki minit ke-34 apabila Safawi menanduk masuk bola susulan hantaran daripada sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman untuk Malaysia melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan 2-0.

Aksi lebih menarik ditampilkan pada babak kedua dengan lebih banyak serangan dilancarkan oleh barisan pemain negara. Malah, penjaga gol Laos, Keo-Oudone juga tangkas dalam memastikan gawangnya tidak dibolosi dengan lebih banyak.

Ketika penyerang gantian, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi terlepas hampir empat peluang keemasan untuk menjaringkan gol, Shahrul Mohd Saad tanpa disangka-sangka mudah untuk menyempurnakan lorongan baik dilakukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-78.

Berselang dua minit kemudian, Safawi melengkapkan hatrik pada perlawanan ini selepas beliau yang meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Laos dengan tenang menolak masuk bola hasil umpanan cantik daripada R. Kogileswaran untuk memastikan skuad negara dapat melakarkan kemenangan selesa.