Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal dengan lebih awal dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 apabila tewas 1-4 di tangan Indonesia pada aksi terakhir kumpulan B yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Biarpun pahit untuk ditelan, Indonesia jelas kelihatan lebih bersedia dan bertenaga untuk meraih kemenangan penting yang sekali gus melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir.
Anak buah Shin Tae-yong bermula dengan begitu garang apabila mereka berupaya mengancam kubu skuad negara seawal minit kedua perlawanan menerusi percubaan daripada Pratama Arhan Alif Rifai.
Bek kiri itu melakukan larian solo bagi melepasi kawalan pemain pertahanan Malaysia sekali gus menuju ke kawasan penalti untuk melepaskan rembatan, namun Pratama hampa apabila ledakannya hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat hampir melakukan kesilapan mudah berselang seminit kemudian selepas bola dari dakapannya terlepas tanpa disangka-sangka meskipun tidak mendapat tekanan pemain lawan. Mujur, bola tidak menuju ke arah gawang skuad negara tetapi sebaliknya hanya bergolek keluar.
Kem skuad negara bagaimanapun terlebih dahulu melonjak kegembiraan pada minit ke-13 setelah R. Kogileswaran melakukan rembatan jarak jauh yang berjaya menewaskan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Indonesia cuba bangkit dengan dua serangan berbahaya dilancarkan, namun rembatan jarak dekat daripada Ezra Walian tidak berjaya mendapatkan sebarang tepat manakala rembatan Witan Sulaeman pula mudah ditangkap Khairul Fahmi.
Memasuki minit ke-35, Malaysia hampir menjadikan kedudukan 2-0 tetapi percubaan Syafiq Ahmad selepas Nadeo sudah pun keluar daripada posisinya hanya sedikit tersasar.
Jaringan penyamaan diidamkan Indonesia akhirnya hadir seminit kemudian selepas Witan yang tidak diawasi pertahanan negara, melakukan ‘cutback’ bagi membolehkan Irfan Jaya menolak masuk bola bagi kembali mengikat kedudukan.
Ketika aksi separuh masa pertama hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Irfan sekali lagi mengambil kesempatan kerapuhan jentera pertahanan negara untuk memberikan kelebihan buat Indonesia.
Aksi babak kedua memperlihatkan Tan Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran termasuklah dengan meletakkan Dion Cools di bahagian tengah tetapi ia kelihatan masih tidak cukup untuk membantu skuad negara.
Sebaliknya, Indonesia menambah dua lagi jaringan menerusi rembatan dari luar kawasan penalti diledakkan Pratama pada minit ke-50 dan pemain gantian, Elkan Baggot melengkapkan malam gemilang buat musuh tradisi Malaysia itu.