Juara bertahan, Vietnam gagal menggunakan kelebihan dominasi permainan yang ditampilkan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Indonesia pada aksi ketiga Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.
Turun selaku pasukan ranking nombor satu Asia Tenggara (ASEAN), Vietnam jelas berada dalam kelas tersendiri dengan menguasai secara total permainan ini sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil bertugas.
Bagaimanapun, anak buah Shin Tae-yong mempamerkan disiplin tinggi terutamanya ketika bertahan dengan menyerap tekanan hebat tanpa henti yang dijelmakan barisan pemain Vietnam.
Ia jelas dibuktikan apabila Vietnam hanya mampu mendapatkan satu percubaan tepat sepanjang perlawanan menerusi percubaan ayam tambatan mereka, Nguyen Quang Hai.
Selebihnya barisan pemain Vietnam hanya mampu melakukan percubaan dari jarak jauh selepas pertahanan Indonesia yang diketuai Rizky Ridho dan Fachrudin Aryanto begitu kental bertahan.
Dengan keputusan seri ini menyaksikan dua slot pasukan yang akan beraksi di separuh akhir bakal ditentukan pada aksi terakhir dimana persaingan hebat tersebut akan turut melibatkan Malaysia.
Berakhir tiga perlawanan, Indonesia mendahului kumpulan B dengan tujuh mata, terikat bersama Vietnam tetapi skuad Garuda itu memiliki kelebihan jaringan. Manakala, Malaysia pula berada di tangga ketiga dengan enam mata.
Indonesia akan membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Malaysia pada aksi terakhir dan Vietnam pula bakal berhadapan Kemboja.