Indonesia berjaya melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki 2020 selepas mengambil kesempatan beraksi dengan kelebihan pemain untuk menundukkan Singapura 4-2 (agregat 5-3) pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung sebentar tadi.
Perlawanan di Stadium Nasional itu bukan sahaja diserikan dengan corak permainan pantas dipamerkan kedua-dua pasukan, malah beberapa keputusan dibuat pengadil perlawanan, Qasim Matar Ali Al Hatmi juga turut mencuri tumpuan.
Hal ini kerana pengadil dari Oman itu bertindak melayangkan kad merah kepada Safuwan Baharudin dan Irfan Fandi pada setiap babak yang nyata menimbulkan kemarahan penyokong tuan rumah. Malah, Hassan Sunny turut menerima nasib yang sama pada lewat masa tambahan.
Indonesia yang lebih mendominasi sejak dari awal permainan terlebih dahulu menguji gawang Singapura seawal minit keenam, namun rembatan Ricky Richardo Kambuaya dalam kawasan penalti membias terkena kaki Hariss Harun untuk menyelamatkan keadaan.
Kehampaan itu ditebus Ezra Walian berselang lima minit kemudian apabila beliau mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Witan Sulaeman dari sebelah kiri pintu gol untuk memberikan kelebihan buat Indonesia.
Ketika Indonesia giat melancarkan serangan, Singapura mencuri peluang dengan mendapatkan sepakan percuma di sebelah kiri dan ketika situasi itulah Safuwan diperintahkan keluar padang berikutan pergeserannya bersama pemain pertahanan Indonesia pada masa kecederaan babak pertama.
Keadaan itu bagaimanapun tidak langsung merentap semangat skuad kendalian Tatsuma Yoshida selepas Song Uiyong melakukan percubaan jarak dekat susulan keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol bagi kembali mengikat kedudukan.
Aksi lebih menarik dan dramatik ditampilkan pada 45 minit seterusnya apabila kedua-dua pasukan begitu bernafsu untuk mengubah kedudukan untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Bermula dengan tandukan Amy Recha yang menerima hantaran cantik daripada Shahdan Sulaiman tetapi percubaan itu mudah ditangkap kemas penjaga gol, Nageo Arga Winata pada minit ke-55.
Empat minit kemudian, giliran Rizky Ridho Ramadhani pula memberikan ancaman, namun percubaan kaki kirinya dalam kawasan penalti ketika situasi sepakan sudut sekadar singgah di palang gol ketika Hassan Sunny sudah pun tertewas.
Langkah Yoshida membawa masuk Ikhsan Fandi, Faris Ramli dan Shawal Anuar nyata membuahkan hasil apabila trio tersebut memberikan kesukaran buat pertahanan Indonesia dengan larian pantas dipamerkan mereka.
Ia jelas dibuktikan dimana Shawal mendapat umpanan cantik daripada Ikhsan dan kemudiannya meluru pantas untuk melakukan percubaan lambung dari jarak jauh, namun peluang itu sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Indonesia.
Ketika Singapura berusaha untuk memperkemaskan aksi, mereka kehilangan seorang lagi pemain apabila Irfan Fandi pula dilayangkan kad mereka susulan kekasaran dilakukannya terhadap Irfan Jaya pada minit ke-67.
Stadium Nasional bergempita ketika permainan memasuki minit ke-74 apabila sepakan percuma berkelas dunia daripada Shahdan Sulaiman berjaya membolosi gawang Nadeo untuk meletakkan Singapura pula dihadapan.
Shahdan hampir melebarkan kedudukan berselang empat minit kemudian tetapi sepakan percuma diledakkannya kali ini ditepis dengan baik Nadeo.
Tersentak dengan peluang dimiliki Singapura itu, anak buah Shin Tae-yong kembali melancarkan serangan-serangan berbahaya dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Pratama Arhan Alif Rifai pada minit ke-87.
Singapura kemudiannya terlepas peluang keemasan untuk mendapatkan jaringan kemenangan selepas Faris Ramli gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diterima pada masa kecederaan.
Arah sepakan yang diambil bekas pemain import Terengganu dan PKNS FC itu dibaca dengan baik Nadeo sekali gus menggagalkan peluang Singapura untuk mencatatkan kemenangan.
Beraksi di masa tambahan dengan kelebihan dua orang pemain jelas digunakan dengan cukup baik oleh barisan pemain Indonesia yang mana skuad Garuda itu menambah dua jaringan sumbangan gol sendiri Shawal Anuar dan Egy Maulana Vikri.
Hassan Sunny yang menjadi antara watak penting buat Singapura turut terpaksa meninggalkan padang sebelum wisel penamat apabila kekasaran terhadap Irfan Jaya menyebabkan beliau diperintahkan keluar padang memaksa Ikhsan Fandi menggantikannya sebagai penjaga gol.
Kemaraan ke final buat kali keenam itu menyaksikan Indonesia bakal menanti pemenang antara Thailand dan Vietnam yang akan beraksi malam esok.