Sabah memulakan kempen Piala AFC 2023/24 dengan nota kemenangan selepas berjaya menewaskan Hougang United 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Baca Juga:

Mendapat sokongan lebih tujuh ribu penyokong setia, anak buah Datuk Ong Kim Swee mempamerkan aksi bertenaga dengan mendominasi permainan sejak wisel permulaan.

Keinginan tinggi untuk melakarkan kemenangan jelas ditampilkan Sabah yang membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi pemain pertahanan, Gabriel Schmegel Wotter Peres.

Jaringan penting itu hadir berpunca daripada hantaran baik oleh Daniel Ting ditanduk masuk oleh Gabriel bagi meletakkan tuan rumah dihadapan.

Asakan berterusan Sabah hampir membuahkan hasil pada minit ke-37 selepas percubaan dalam kawasan penalti oleh Daniel Ting ditepis keluar penjaga gol Hougang United, Zaiful Nizam.

Kekecewaan itu pantas ditebus Darren Lok berselang seminit kemudian selepas tolakan susulannya menewaskan Zaiful ketika tandukan awal Rizal Ghazali susulan sepakan penjuru terlebih dahulu diselamatkan penjaga gol tersebut.

Tersentak dengan dua gol tersebut, Kristijan Krajcik melakukan gerakan solo dan merembat dari luar kawasan penalti tetapi Damien Lim menafikan percubaan itu pada minit ke-39.

Hujan yang semakin lebat di Likas membuatkan keadaan padang sedikit berlopak di beberapa kawasan.

Keadaan itu sedikit menganggu rentak Sabah dan mereka hampir dihukum berikutan kesilapan hantaran Peres kepada Damien.

Namun, Park Tae-su bertindak cemerlang dalam menghalang rembatan cuba dilakukan oleh penyerang pasukan yang merupakan juara Piala Singapura musim lalu itu.

Gawang Sabah bagaimanapun dibolosi pada minit ke-61 apabila pengadil perlawanan mengesahkan jari ngan menerusi tandukan Kazuma Takayaman dimana Damien mendakwa beliau menepis bola di luar gawangnya.

Namun, para pemain Sabah jelas tidak terganggu dengan keadaan tersebut dan kembali memiliki jurang dua mata menerusi tandukan Darren pada minit ke-63.

Aksi selepas itu memperlihatkan Sabah memiliki beberapa peluang terbaik, namun penyudah kurang berkesan menggagalkan peluang mereka untuk menang dengan jurang lebih besar.