Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan piagam akar umbi yang dinamakan PIAGAM SUPARIMAU FAM bagi menempah laluan lebih baik dan memastikan bola sepak di semua peringkat di negara ini semakin berkembang.

Merupakan salah satu daripada usaha yang konsisten dijalankan FAM sejajar dengan Peta Hala Tuju F: 30 2019-2030, Piagam SUPARIMAU FAM ini adalah untuk setiap Kelab Bola Sepak Komuniti & Rekreasi serta mana-mana Akademi Bola Sepak yang ingin berada di landasan yang tepat dalam peringkat bola sepak akar umbi.

Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal berkata, kreditasi dan penilaian ini bertujuan untuk menyeragamkan proses pembangunan akar umbi dan meningkatkan standard dalam bola sepak, menyokong pembangunan, pertandingan serta mengenali, memberi ganjaran komitmen dan pencapaian.

“Penting buat kami memberi ruang untuk kanak-kanak yang datang dari semua lapisan masyarakat di sini.  Dengan ini saya juga menekankan tiada istilah untuk kekurangan bakat yang mana matlamat kami di FAM adalah untuk mengembangkan serta mengasah kemahiran mereka secara kerja berpasukan menerusi kemahiran latihan demi masa depan, kerjaya mereka dalam arena bola sepak menerusi akademi yang diiktiraf.

“Piagam ini adalah piawaian penanda kualiti yang mengukur standard dalam beberapa bidang seperti penyertaan (untuk kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki) justeru saya berharap dengan ini lebih ramai bakat muda dapat dilahirkan dalam masa terdekat,” katanya.

Dato’ Sri Subahan merasmikan Piagam SUPARIMAU FAM di Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya hari ini dan turut hadir ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Selain itu, FAM juga melancarkan logo rasmi Piagam SUPARIMAU FAM hari ini.

Piagam SUPARIMAU FAM boleh dipohon oleh mana-mana Kelab Bola Sepak Komuniti & Rekreasi dan Akademi Bola Sepak di seluruh negara.

Kriterianya agak mencabar, tetapi mampu dicapai memandangkan ianya direka untuk pembangunan bola sepak akar umbi yang mapan dalam persekitaran positif.

Ia terbahagi dalam tahap keahlian yang berbeza – Ahli Gangsa (asas) penekanan pada asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan, Ahli Perak (lanjutan) penekanan pada kemampanan dan kemajuan dan Ahli Emas (Unggul) khusus untuk jarak serta pengekalan.

Tahap-tahap ini adalah untuk memastikan Piagam SUPARIMAU FAM mencerminkan persekitaran yang pelbagai dalam akademi akar umbi serta komuniti & kelab rekreasi. Tahap- tahap ini juga membolehkan FAM menyokong cita-cita dan keupayaan Akademi ini dalam  menyampaikan maklumat bola sepak.

Dalam pada itu, setiap Kelab Bola Sepak Komuniti & Rekreasi dan Akademi Bola Sepak ini wajib mencapai standard tertentu jika ingin mendapatkan akreditasi. Mereka mesti memenuhi kriteria spesifik yang ditetapkan mengikut tahap kategori dipohon antaranya kepimpinan, perancangan, kemudahan, perlawanan peringkat akar umbi dan pendidikan.