Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) semalam telah melantik presiden baru dimana Setiausaha sulit kepada Ahli Parlimen Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim), Zainuddin Osman dipilih sebagai individu yang akan memimpin PFA.
Zainuddin yang juga bekas pemain Perlis dilantik menerusi satu Kongres Luar Biasa (EGM), dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif baharu PFA yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam. Belia memegang tampuk pemerintahan bermula 2019 hingga 2021.
Menurut Zainuddin, beliau mahu memberikan fokus terhadap pembangunan bola sepak negeri dan Sukan Malaysia (SUKMA) terlebih dahulu. Setelah itu, baru beliau akan memberikan fokus terhadap usaha untuk kembali ke kancah Liga Malaysia.
Setelah dilantik sebagai presiden, pemain yang pernah mewakili Perlis pada era 70an dan 80an ini akan meneliti dokumen yang ditinggalkan penurusan terdahulu dan kemudiannya berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan isu berkaitan PFA seperti tunggakan gaji dan juga status Perlis dalam saingan Liga Malaysia.
“Kita nak lihat dahulu dokumen oleh pengurusan terdahulu. Selepas kita berjumpa dengan FAM barulah kita muktamadkan apa yang perlu,” katanya menurut laporan Berita Harian.