Dalam satu kenyataan media hari ini, Datuk Peter Anthony secara rasmi telah letak jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuatkuasa serta-merta.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu berehat daripada sukan bola sepak dan menumpukan perhatian kepada bidang politik.

“Dengan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik…saya rasa perlu berehat buat sementara waktu.

“Oleh itu saya mahu umumkan perletakan jawatan sebagai Presiden SAFA berkuatkuasa serta merta hari ini,” kata Peter dipetik dalam Buletin Sabah.

86721284_2604958546417929_5362034418699468800_o
FOTO: Sabah FA

Peter dipilih menerajui kepimpinan SAFA apabila menang tanpa bertanding sebagai presiden bagi penggal 2019-2022 pada kongres tahunan persatuan tersebut pada tahun lepas.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebelum ini memangku jawatan berkenaan apabila presiden SAFA ketika itu Alijus Sipil telah meletak jawatan, kurang dari tiga bulan beliau menjawat jawatan tersebut pada November 2018.

“Saya telah cuba lakukan yang terbaik dan termampu. Saya harap SAFA akan terus maju jaya di bawah presiden baru selepas ini,” katanya.

Dibawah pimpinan Peter, Sabah yang dijenamakannya sebagai Tambadau, menjulang gelaran juara Liga Premier 2019 sekaligus mengembalikan Sabah ke saingan utama bola sepak negara di Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat melakukan pembaharuan yang dimahukan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

“Krisis COVID-19 sejak Mac tahun ini telah menjejaskan perancangan kita untuk pembangunan SAFA. Saingan untuk skuad bawah 21 (Piala Presiden) dan bawah 19 tahun (Piala Belia) malah dibatalkan disebabkan krisis COVID-19 ini.

“Begitu dengan pembentukan pasukan senior. Bukan mudah untuk bangkit selepas setengah tahun saingan Liga Super berehat tetapi Sabah sudah kembali dengan kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Likas, Ahad lalu.

“Tahniah buat pasukan kerana akhirnya dapat kemenangan seterusnya buka semula peluang untuk sekurang-kurangnya kekal dalam saingan Liga Super musim depan. Teruskan perjuangan untuk baki dua perlawanan lagi,” katanya.

Baca artikel lain mengenai Sabah FA yang pernah dilaporkan sebelum ini. 

Penyokong Sabah Tetap Boikot Perlawanan Penyerahan Trofi Liga Premier

Isu Pengadil: Penjaga Gol Sabah Terkeluar Dari Posisi, Sepakan Penalti PJ City Perlu ‘Retake’ Atau Tidak?

Sabah Sasar Satu Piala Pada Saingan Liga Malaysia Musim 2020