Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia diwajibkan mempunyai jawatan pengarah teknikal.

Menurut Hamidin, kegagalan beberapa persatuan bola sepak negeri (FA) untuk melantik pengarah teknikal akan membantutkan usaha melahir pemain berkualiti, malah ia turut menjejaskan ekosistem bola sepak di peringkat akar umbi.

Mengulas mengenai isu tersebut, setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim berkata dalam Utusan Malaysia menyokong penubuhan jawatan tersebut kerana ia akan memudahkan lagi urusan badan induk bola sepak negeri untuk merancang aktiviti dalam program pembangunan akar umbi.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan sekolah-sekolah di Melaka untuk menganjurkan program pembangunan akar umbi, klinik bola sepak, kursus kejurulatihan malah kursus pengadil.

“Apa yang disarankan oleh FAM perlu diambil berat oleh setiap persatuan bola sepak negeri sebab hala tuju FAM itu sendiri menitikberatkan tentang pembangunan pemain terutamanya di peringkat bawahan.

“Sehingga ke hari ini kami sudah mengadakan lima hingga enam kali program bersama sekolah rendah dan menengah, malah kami juga mengadakan kursus kejurulatihan bersama cikgu,” katanya.

66525533_2262511470512271_3128655088386572288_n
FOTO: FAM

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais turut menyokong langkah FAM mewajibkan semua pasukan mempunyai pengarah teknikal kerana ia penting untuk menilai prestasi jurulatih dalam semua peringkat. 

“Setiap pasukan profesional perlu ada pengarah teknikal. Jika tidak, tiada individu yang akan menilai prestasi semasa jurulatih bukan hanya melibatkan skuad senior negeri, tetapi pasukan bawah 21 dan bawah 19,” katanya.

Jawatan pengarah teknikal atau pengarah bolasepak telah lama diwujudkan bagi sesetengah kelab di eropah. Seseorang yang dilantik ke jawatan pengarah teknikal selalunya diberi tugas utama untuk membangunkan program di peringkat akar umbi.

Pengarah teknikal akan dibantu oleh sepasukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan program pembangunan pemain muda seperti di akademi bolasepak. Jika seseorang pengarah teknikal mengamalkan falsafah bolasepak yang positif, maka akan lahirlah generasi pemain yang positif.