Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan semua pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia diwajibkan mempunyai jawatan pengarah teknikal.
Menurut laporan daripada Stadium Astro, kegagalan beberapa persatuan bola sepak negeri (FA) untuk melantik pengarah teknikal akan membantutkan usaha melahirkan pemain berkualiti, malah ia turut menjejaskan ekosistem bola sepak di peringkat akar umbi.
Justeru itu, Hamidin mengesa semua badan induk bola sepak negeri lebih serius untuk memastikan sistem mereka lebih seragam di semua peringkat umur, dari peringkat akar umbi hingga elit.
“Kami perlu menekankan perkara ini (pembangunan akar umbi) untuk memastikan ahli gabungan daripada persatuan bola sepak negeri lebih serius dan ia bermula dengan mereka perlu melantik pengarah teknikal.
“FAM akan menetapkan jawatan pengarah teknikal sebagai mandatori dalam pelesenan kelab dan saya begitu serius mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia, semalam.
Apakah jawatan itu dapat membantu memajukan bola sepak Malaysia?
Jawatan pengarah teknikal atau pengarah bolasepak telah lama diwujudkan bagi sesetengah kelab di eropah. Seseorang yang dilantik ke jawatan pengarah teknikal selalunya diberi tugas utama untuk membangunkan program di peringkat akar umbi.
Pengarah teknikal akan dibantu oleh sepasukan jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan program pembangunan pemain muda seperti di akademi bolasepak. Jika seseorang pengarah teknikal mengamalkan falsafah bolasepak yang positif, maka akan lahirlah generasi pemain yang positif.
Pemain-pemain muda akan diperkayakan dengan pelbagai ilmu teknik dan taktik semasa berguru di akademi di bawah kelolaan pengarah teknikal.
“Kalau nak bangunkan bola sepak Malaysia, mereka (FA) kena sedar pembangunan akar umbi dan posisi pengarah teknikal perlu diwujudkan. Tanpa dua elemen ini dalam bola sepak moden, bola sepak negara tidak akan ke mana-mana.
“FAM kena keluarkan duit lagi untuk program macam ini dan saya begitu serius, jadi FA atau mungkin kelab perlu ikut. Kami akan terus mendidik ahli gabungan dan perkara penting adalah mengadakan (jawatan) pengarah teknikal,” tegas Datuk Hamidin.