Skuad kebangsaan Vietnam mengalami kekalahan besar pada tahun ini apabila dibelasah gergasi Asia, Korea Selatan 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Piala Dunia Suwon hari ini.

Baca Juga:

Ia bukan keputusan yang baik bagi skuad kendalian Phillipe Trousier itu dalam persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan depan.

Pesta gol Korea Selatan bermula seawal minit ke 5 apabila pemain Bayern Munich, Kim Min Jae menanduk masuk bola sepakan sudut pemain PSG, Lee Kang-In.

Pada minit ke 27, giliran Hwang Hee Chan menjaringkan gol kedua apabila menghukum kelekaan benteng pertahanan Vietnam. Juara Piala AFF itu cuba bangkit namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Korea Selatan yang beraksi cukup berdisiplin.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama yang menyaksikan penguasaan bola lebih memihak kepada skuad kendalian Jurgen Klinsmann itu.

Malah, Korea Selatan memperolehi gol ketiga pada separuh masa kedua apabila pemain pertahanan Vietnam, Vo Minh Trong menjaringkan gol di gawang sendiri pada minit ke 50.

Korea Selatan terus bernafsu menambah gol dan kali ini menerusi bintang Tottenham Hotspurs yang meledak masuk pada minit ke 60 hasil hantaran cantik daripada Hwang Hee Chan.

Lebih malang, Vietnam terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Bui Hoang Viet Anh dilayangkan kad merah oleh pengadil Malaysia, Muhd Amirul Izwan Yaacob.

Aksi Korea Selatan menentang Vietnam diadili oleh pengadil dari Malaysia.

Pada minit ke 70, Lee Kang-In melepaskan rembatan kencang menewakan penjaga gol, Dang Van Lam sekaligus mencatat nama sebagai penjaring gol kelima Korea Selatan.

4 minit sebelum tamat perlawanan, Jung Wo Young menjaringkan gol keenam Korea Selatan dan keputusan 6-0 kekal sehingga pengadil meniup wisel penamat.

Kekalahan ini sudah tentu mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan penyokong Vietnam dan ada juga yang mahu Park Hang Seo kembali membimbing pasukan tersebut.