Pasukan Perak menandatangani dua pemain import baharu bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Dua pemain import baharu yang dimaksudkan ialah Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson da Costa Moraes atau yang lebih sinonim dengan panggilan Careca. Kedua-dua pemain ini dibawa masuk bagi menggantikan Gilmar da Silva yang digugurkan dan Wander Luiz Junior yang mengundurkan diri kerana masalah peribadi.

Ronaldo dan Careca
Sumber Gambar: @quenewsmpb

Ronaldo sebelum ini pernah beraksi bersama 9 pasukan dimana kebanyakannya bersaing di Divisyen kedua liga brazil iaitu Serie B. Penyerang berusia 28 tahun ini juga pernah beraksi di Asia dimana beliau mewakili Yokohama FC dalam saingan J2 pada musim 2015/2016.

Seorang lagi pemain, Careca pula juga beraksi di saingan liga domestik Brazil sebelum ini. Menurut rekod beliau di laman transfermarkt.com, pemain berusia 24 tahun ini beraksi bersama dua pasukan iaitu Acreano dan Cruzeiro B.

Aksi Ronaldo bersama Ituano

Setelah membawa masuk dua pemain import baharu, Perak kini mencari pengganti kepada pemain pertahanan, Zac Anderson yang juga digugurkan oleh pengurusan pasukan dan seorang pemain dari rantau Asia Tenggara.

Bekas pemain PKNS FC dan Lions XII, Faris Ramli dikhabarkan menjadi pilihan utama Perak bagi mengisi slot pemain import Asean.