Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mempersoalkan tempoh masa perjalanan ke London selepas menyaksikan anak buahnya tewas 0-1 di tangan Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Baca Juga:

Kekalahan di Tottenham Hotspur Stadium hasil jaringan tunggal Harry Kane itu menyebabkan The Cityzens terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23, Arsenal yang terlebih dahulu tumpas kepada Everton.

Keadaan itu menyebabkan Manchester City ketinggalan lima mata dibelakang Arsenal yang memiliki kelebihan kekurangan satu perlawanan berbanding juara bertahan tersebut.

Malah, ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut buat Manchester City dalam kempen liga ketika bertemu Spurs di gelanggang lawan tersebut.

Menurut sumber laporan Sky Sports, Guardiola telah mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyalahkan perjalanan jauh pasukan sehingga menyebabkan kekalahan keempat mereka dalam kempen liga musim ini.

“Datang ke London adalah seperti pergi ke Eropah Utara. Ia mengambil masa selama empat jam 20 minit.”

“Anda memerlukan empat jam setengah untuk sampai ke hotel penginapan. Ia sangat meletihkan untuk datang ke London,” ujar Pep Guardiola.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Sepanyol tersebut tetap mengakui kemampuan hebat ditampilkan oleh Tottenham Hotspur.

“Kami tidak berada pada posisi untuk memikirkan tentang menjadi juara [EPL]. Kami hanya memikirkan tentang perlawanan akan datang.”

“Tottenham mempunyai pasukan yang hebat dan mereka telah menghukum kami. Mereka mempunyai banyak kualiti yang hebat di barisan hadapan. Kami perlu memberikan banyak kredit kepada mereka.”

“Kami bermula dengan baik tetapi kemudiannya melakukan kesilapan, mereka menghukum kami. Pada kedudukan ketinggalan 1-0, ia sesuatu yang berbeza.”

“Ia tidak mudah. Kami telah kehilangan tiga mata,” tambah Guardiola lagi menurut sumber FotMob.