Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) pagi tadi telah melancarkan promosi ‘Jom Tengok Bola di Stadium’ sempena perlawanan Liga Super diantara Melaka United menentang Selangor pada hari ahad ini.
Menurut kenyataan rasmi, para penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu di Stadium Hang Jebat berpeluang memenangi sebuah motorsikal Honda RS150R sumbangan KenTeam Sdn Bhd.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali berharap lebih ramai penyokong akan turun ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan itu dalam setiap perlawanan yang akan datang.
“Cukup mudah, beli tiket berharga RM20 (tempat duduk berbumbung) atau RM12 (tempat duduk terbuka) secara dalam talian dan hadir menonton di stadium ahad ini. Keputusan akan dipaparkan pada papan mata bila-bila masa sepanjang aksi perlawanan,” katanya dipetik dalam Bernama.
Difahamkan Melaka United telah memperuntukkan 4000 tiket kepada para penyokong dan kemungkinan akan ada hadiah berbeza pada setiap perlawanan yang akan datang. Penyokong yang hadir perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
“Kita harap 4000 orang ini dapat hadir. Kita gemakan Stadium Hang Jebat dan InsyaAllah jika stadium terus penuh pada masa akan datang, kita akan berikan hadiah lain pula. Janji stadium penuh,” jelasnya.
Para penyokong Melaka United boleh membeli tiket perlawanan itu melalui laman web tickethotline.com.my dan mereka hanya dibenarkan membeli 2 keping tiket sahaja dalam satu transaksi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Bung Moktar Beri Amaran Kepada Pemain Yang Calar Imej Sabah FC
Pemerhati Bola Sepak Anggap Kelantan, Melaka Mampu Jadi Seperti JDT
Sharbinee Allawee Pernah Terfikir Hendak Bersara Selepas Keluar Dari Pahang