Perlawanan Liga Super antara Penang menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) dicemari dengan insiden pergaduhan melibatkan penyokong kedua-dua pasukan di luar Stadium Bandaraya semalam.

Difahamkan ia melibatkan sekumpulan ‘casual’ yang berpakaian serba hitam dan berpunca daripada provokasi antara kedua-dua pihak sebelum aksi sepak terajang bermula berhampiran kawasan parkir bas penyokong Kedah.

Malah, satu video tular di media sosial berdurasi 1 minit 42 saat yang memaparkan suasana menjadi kecoh di stesen minyak shell dan kemudian pihak polis tiba untuk mengawal keadaan.

Dalam perlawanan ‘derby utara’ malam tadi, Kedah membawa pulang 3 mata penuh selepas menewaskan Penang 2-1.

Skuad kendalian Nafuzi Zain terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 7 menerusi Fadzrul Danel dan kemudian Penang menyamakan kedudukan pada minit ke 32 hasil jaringan pemain import dari Lubnan, Soony Saad.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan seri, pemain import Kedah, Moses Atede muncul wira apabila merembat masuk gol kemenangan pada minit ke 96 sekaligus mengecewakan penyokong tuan rumah.

Keputusan pengadil membatalkan gol kedua Penang yang diledakkan oleh Rafael Vitor pada minit ke 66 turut membangkitkan kemarahan penyokong.

Ia juga menyebabkan suasana tegang antara penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.