Hasrat beberapa penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) untuk menyaksikan perlawanan pra musim menentang kelab dari Uzbekistan, Nasaf FC di Turkiye semalam tidak menjadi kenyataan apabila siaran langsung dibuat oleh pihak KDA TV gagal diakses dengan lancar.
Walaupun sudah membuat pembayaran namun segelintir penyokong masih lagi tidak dapat menonton siaran langsung tersebut sekaligus mencetus kemarahan di ruang komen laman facebook rasmi KDA FC. Kebanyakannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasukan media KDA FC.
Bagaimanapun, ada juga yang berjaya menonton perlawanan itu menerusi langganan di facebook (pay per view) tetapi kualiti video siaran langsung juga sangat mengecewakan dan dilihat sangat amatur.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan turut memohon maaf kepada para penyokong sambil menjelaskan beliau juga gagal menonton perlawanan itu menerusi KDA TV.
“Saya pun tidak dapat saluran KDATV. Terpaka melanggan PPV.
“Tentang siaran yang tidak memuaskan, pihak kami memohon kemaafan. Pihak media KDA FC telah mrmbuat notis pengumuman kepada mereka yang telah melanggan melalui KDATV.
“Mereka juga akan membuat notis pengumuman kepada semua penyokong tentang apa yang telah berlaku. Mereka juga perlu belajar dari kelemahan dan kegelinciran teknologi. Masing-masing ingin membuat yang terbaik.
“Namun, ada perkara baru yang belum diketahui. Dunia IT banyak cabaran. Apatahlagi berada jauh dari sarang dan kelengkapan serta tenaga kerja. Wang langganan anda yang tidak dapat masuk saluran akan dikembalikan,” katanya.
NOTIS LANGGANAN PPV: KDA TV DIBUKA UNTUK LANGGANAN PERLAWANAN PERTAMA SEHINGGA 5.00 PETANG (MALAYSIA)
KDA TV telah dibuka semula untuk langganan siaran langsung perlawanan KDA FC vs NASAF FC sehingga 9 Februari 2023 jam 5.00 petang Malaysia. pic.twitter.com/Ucnv7JWSnA
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) February 9, 2023
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain tewas tipis 1-2 kepada Nasaf FC. Mereka membuka gol pertama hasil jaringan Lira di minit ke 55, Nasaf FC bangkit dihujung babak 10 minit terakhir melalui 2 gol Khusain Norchaev.
Aksi seterusnya petang esok bertemu FC Shakter Karagandy di Miracles Fields, jam 5.30 petang waktu Turkiye.
Ujian terbaik bagi Nafuzi Zain menilai anak buahnya menjelang aksi Liga Super 25 Februari ini.