Penyerang kelab gergasi Thai League 1 Buriram United, Pedro Junior sah akan kembali beraksi dalam saingan liga bola sepak Jepun musim ini.
Avispa Fukuoka, sebuah kelab yang beraksi dalam saingan J2 League telah membuat pengumuman rasmi semalam berkenaan ketibaan Pedro Junior di Level 5 Stadium, Fukuoka.
Saingan bola sepak Jepun bukanlah asing buat Pedro Junior kerana sebelum berkelana di Thailand, beliau sudah beraksi untuk beberapa buah kelab J1 League sejak dari tahun 2007 lagi, ketika itu bersama Omiya Ardija, Albirex Niigata, Gamba Osaka, Kashima Antlers, FC Tokyo, dan juga Vissel Kobe.
Pedro Junior juga sarat dengan pengalaman beraksi di saingan AFC Champions League dengan 8 penampilan dan menjaringkan 3 gol. Selain itu, berdasarkan rekod penampilan dalam saingan domestik Jepun, beliau telah merekodkan;
- J1 League: 147 penampilan dan 47 gol
- J2 League: 2 penampilan
- Emperors Cup: 9 penampilan dan 6 gol
- Xerox Supercup: 1 penampilan
Semasa beraksi untuk Buriram United, Pedro Junior telah turun sebanyak 15 kali dan menjaringkan 6 gol bagi skuad The Thunder Castles itu.