Penyerang prolifik skuad kebangsaan Myanmar, Aung Kaung Mann bakal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini apabila beliau mengesahkan akan menyertai Sri Pahang pada bulan Mei 2021 bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu.
Menurut satu komen di laman instagramnya, bekas pemain Ayeyawady United itu kini berada di Kuala Lumpur untuk menjalani proses kuarantin sebelum dibenarkan menyertai sesi latihan pasukan di Kuantan.
Kemerosotan prestasi dalam 10 perlawanan Liga Super 2021 memaksa Sri Pahang melakukan rombakan dengan menukarkan dua penyerang import mereka iaitu Yevhen Bokashivili dan Pedro Henrique apabila gagal menunjukkan persembahan seperti yang diharapkan.
Mempunyai ketinggian 183cm, Aung Kaung Mann sebelum ini mencuri tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Sukan SEA 2019 di Filipina.
Dalam temasya itu, Kaung Mann telah menjaringkan 5 gol dan membantu negaranya melangkah ke peringkat separuh akhir serta membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Kemboja.
Beliau juga turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan Myanmar bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang.
Musim 2020, Aung Kaung Mann beraksi dengan beberapa kelab Thailand seperti Trat FC, Lampang dan Khonkae United. Beliau telah melakukan 16 penampilan dalam saingan Thai League 2 dan menjaringkan 5 gol.
🏝️ Trat FC seal the deal for 🇲🇲Ayeyawady United's striker Aung Kaung Mann ⚽️#ToyotaThaileague #ToyotaThaileague2020 #ThaiLeague #ฟุตบอลไทย #บอลไทย #ไทยลีก pic.twitter.com/OEHHjhYmBD
— ThaiLeague (@thaileague) January 17, 2020
Malah, pemain yang berusia 23 tahun itu pernah dirisik oleh sebuah pasukan Liga Super pada tahun lepas namun telah menolak tawaran itu kerana tidak gemar dengan corak permainan yang diamalkan oleh pasukan dari utara tersebut.
Sudah tentu, peminat tok gajah berharap kehadirannya dapat membantu Sri Pahang melakar kemenangan dalam baki perlawanan yang akan datang sekaligus keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super 2021.
Jika perpindahan itu berjalan lancar, beliau merupakan pemain kedua dari Myanmar yang beraksi dalam Liga Malaysia musim ini selain Hein Htet Aung dari pasukan Selangor.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
UiTM FC Lepaskan Dua Tonggak Import, Tandatangani Bekas Pemain
Media Jepun Ini Dedahkan Honda Keisuke Terima Tawaran Untuk Beraksi Dengan Pasukan Selangor
Zainal Abidin Hassan Perlu Satu Lagi Kemenangan Untuk Terus Bimbing Melaka