Presiden Perak FC, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tampil membuat permohonan maaf terbuka kepada pihak media susulan tindakan ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim selepas aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), tempoh hari.

Baca Juga:

Ketika ditanya apa kekurangan yang terdapat dalam pasukan Perak setelah tewas 5-0 kepada JDT, Teong Kim memberikan jawapan seolah-olah beliau menempelak wartawan yang bertanya soalan tersebut.

“Apa kekurangan Perak? Awak nampak sendiri permainan. Awak sendiri fikir. Awak bukannya tak nampak permainan. Siapa lihat dia tahu apa kekurangan kami,” ujar Lim Teong Kim ketika ditemu ramah Astro Arena.

Tindakan tersebut nyata tular di media sosial sehingga menyebabkan jurulatih berusia 59 itu mendapat kritikan hebat peminat serta pengamal media bola sepak tanah air.

Susulan dengan itu, Dato’ Seri Abdul Azim menerusi satu kenyataan dikeluarkan laman Facebook rasmi Perak Football Club tampil untuk menjernihkan kembali keadaan.

“Saya mewakili semua yang terlibat bersama Perak FC ingin memohon maaf kepada rakan-rakan media termasuk Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) untuk kejadian yang tidak diingini melibatkan Ketua Jurulatih kami semasa sidang media selepas perlawanan Perak FC lawan Johor Darul Ta’zim tempoh hari.”

“Kami amat kecewa dengan tindakan yang dilakukan dan mengambil iktibar terhadap insiden yang telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial ini.”

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pengamal media bahawa Kelab Bola Sepak Perak amat menyokong peranan dilakukan rakan media dan memahami kekecewaan yang dialami dengan kejadian yang berlaku.”

“Pihak pengurusan Perak FC ingin menegaskan bahawa siasatan dalaman terhadap kejadian yang telah tular ini sedang dilakukan mengikut dasar serta polisi syarikat dan jika perlu tindakan tatatertib akan diambil dalam masa terdekat.”

“Kami mengambil perhatian bahawa semasa perlawanan berintensiti tinggi, emosi pastinya memuncak dan kami berharap ini adalah kes terpencil dan tidak akan berulang lagi di masa hadapan.”

“Dalam masa yang sama, kami memohon kepada rakan-rakan media untuk terus membuat liputan untuk Perak FC seperti yang telah dilakukan selama ini,” tambah Abdul Azim lagi.