Perlawanan akhir Piala FA musim ini hadir dengan sedikit kelainan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pengadil dari Jepun dipilih untuk mengadili perlawanan yang akan berlangsung pada 27 Julai ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata dua penjaga garisan adalah dari negara Matahari Terbit itu serta seorang pengawai perlawanan tempatan turut dipilih bagi membantu pengadil tersebut bagi mengendalikan pentas akhir yang melibatkan pasukan Kedah dan Perak.

Ahli Gabungan
Sumber Gambar: FAM

Menurut Stuart, sebelum ini permohonan dihantar kepada tiga negara iaitu Thailand, Australia dan Jepun. Namun, hanya Australia dan Jepun sahaja yang memberi maklum balas kepada badan induk bola sepak negara itu.

FAM memutuskan untuk menggunakan khidmat tiga pengadil dari Jepun selepas meneliti latar belakang dan kelayakan mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Stuart, pemilihan pengadil dari negara Matahari Terbit itu juga selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) pada April lalu bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang teknikal dan pentadbiran.

Pada masa yang sama, Stuart menjelaskan langkah FAM untuk menggunakan pengadil dari luar negara hanyalah bersifat eksperimen dan mereka tiada niat untuk memperlekeh pembangunan pengadil tempatan.

J.Suresh
Sumber Gambar: Dunia Sukan

Langkah tersebut turut diambil bagi memenuhi keinginan peminat bola sepak tanah air yang mahu melihat mutu pengadilan berkualiti dalam sesebuah perlawanan final yang mempunyai intensiti tinggi.

FAM masih merahsiakan identiti pengadil yang akan diberikan tanggungjawab untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019.