Pencarian pemenang pertandingan reka cipta logo Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) yang menggamit hampir 1500 penyertaan daripada para penyokong skuad Yob itu sudah menghampiri penghujung.
Hal ini kerana senarai pendek enam logo terbaik sudah pun dipilih oleh panel pemilihan bebas yang terdiri daripada golongan profesional bersama-sama wakil Perak FC, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan penaja.
Difahamkan bermula malam ini, para penyokong Perak FC sudah boleh untuk mengundi secara atas talian dimana tiga logo dengan undian tertinggi akan tersenarai ke fasa terakhir penilaian.
Logo-logo tersebut akan dinilai buat kali terakhir oleh panel pemilihan sebelum salah satunya akan diangkat selaku logo rasmi bagi pasukan Perak FC.
Perkembangan terbaharu itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia kerajaan negeri Perak, Yang Berhormat (YB) Khairul Shahril Mohamed di Stadium Mini Chemor, Perak, petang tadi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat bola sepak Perak kerana menyertai pertandingan mencipta logo Perak FC yang telah ditutup penyertaannya semalam dan tadi kita telah menyenarai pendek logo ini.”
“Hampir 1500 penyertaan telah kita terima tetapi apa yang hendak kita katakan hari ini, yang disenarai pendek dari pandangan kami [panel], kita menjuruskan kepada keaslian ciptaan logo tersebut.”
”Kerana isu yang berbangkit berkaitan dengan logo sebelum ini adalah dikatakan kita mengambil idea logo itu daripada ‘Google’ sahaja. Jadi, perkara utama kita adalah keaslian dalam rekaan logo ini.”
“Jadi, malam ini kita akan kita buka kepada para peminat untuk mereka mengundi secara atas talian. Kita berikan ruang kepada semua peminat untuk turut serta memilih logo yang mereka fikir dan layak untuk menjadi logo kelab,”
“Sepatutnya, kita senarai pendekkan 10 logo untuk undian peminat tetapi kita lihat [kriteria] tidak mencukupi. Bukan semua tiada keaslian tetapi ada yang reka bentuknya dilihat tidak sesuai dan kami terpaksa tolak,” ujar Khairul Shahril.