Sri Pahang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super setakat ini selepas menewaskan Penang 1-0 pada perlawanan sebelah petang di Stadium Darul Makmur hari ini.

Baca Juga:

Ketiadaan 3 tonggak utama yang mengalami kecederaan dan digantung perlawanan juga sedikit menjejaskan rentak permainan tok gajah apabila kerap diasak bertubi-tubi oleh Penang sejak minit pertama.

Penang nyaris memperolehi gol pertama menerusi penyerang berbisa mereka, Soony Saad tetapi percubaan beliau berjaya dinafikan oleh penjaga golĀ  Sri Pahang, Zarif Irfan.

5 minit sebelum tamat separuh masa pertama, pemain Penang, Rahmat Makasuf sia-siakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol pembukaan apabila sepakan beliau gagal menemui sasaran walaupun pintu gol sudah terbuka luas.

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan buntu mencari gol pertama mereka.

Bagaimanapun, Tok Gajah bangkit lebih garang sebaik sahaja pengadi meniup wisel permulaan separuh masa kedua.

Gerakan pantas Syazwan Andik menghuru-harakan benteng pertahanan Penang sekaligus menyaksikan pengadil memberi sepakan penalti selepas Rafael Vitor melakukan terjahan keras ke atas penyerang Sri Pahang, Kpah Sherman.

Kpah Sherman menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Sri Pahang pada minit ke 47.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Penang cuba bangkit mencari gol penyamaan namun segala peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik.

Mereka juga telah diberikan banyak sepakan percuma namun semua sepakan yang diambil oleh Soony Saad gagal menemui sasaran. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini bermakna Sri Pahang kini berada di tangga kedua Liga Super buat sementara waktu dengan 25 mata sebelum bermula perlawanan pencabar terdekat, Selangor yang akan menentang Perak malam ini.