Kelab Bola Sepak Penang (Penang FC) hari ini mengumumkan penamatan kontrak pemain import mereka dari Lubnan, Hilal El-Helwe selepas mencapai persetujuan bersama.
Baca Juga:
- Zainal Abidin: Penang Masih Belum Mengaku Kalah
- Pemain Terlibat Pergaduhan Ketika Aksi Penang Menentang Terengganu II Bakal Digantung
- Penang Ambil Keputusan Rehatkan Tomas Trucha
Oleh itu, khidmat pemain yang berusia 27 tahun itu tidak akan digunakan dalam saingan Piala Malaysia yang telah dijadualkan bermula minggu depan dan tempatnya akan diisi oleh pemain tempatan.
“Pemain import Penang FC dari Lubnan Hilal El-Helwe telah mencapai persetujuan dengan Kelab untuk menamatkan kontraknya atas dasar persetujuan bersama dan tidak akan bersama pasukan dalam saingan TM Piala Malaysia 2022 yang telah dijadualkan bermula minggu depan.
“Dengan rasa dukacita, Pengurusan mendoakan yang terbaik untuk kerjayanya di masa hadapan dan keberkatan buat keluarga,” tulis kenyataan rasmi.
Bagaimanapun, punca sebenar pemain itu dilepaskan tidak didedahkan namun ia mendapat reaksi yang positif dalam kalangan penyokong setia Penang.
Berdasarkan komen-komen di laman facebook rasmi Penang FC, kebanyakan penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi Hilal apabila gagal membantu pasukan mencatat kemenangan seperti yang diharapkan.
Hilal telah beraksi dalam 19 perlawanan Liga Super dan berjaya menjaringkan 5 gol serta dua bantuan gol. Rekod tersebut dilihat agak buruk bagi pemain import yang beraksi di posisi serangan.
Apatah lagi beliau juga bukan calang-calang pemain kerana merupakan tonggak skuad kebangsaan Lubnan yang beraksi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan mewakili negaranya dalam Piala Asia 2019.
Beliau pernah menjaringkan dua gol menentang Korea Utara dalam Piala Asia AFC 2019, membantu Lubnan memenangi perlawanan pertama mereka dalam pertandingan itu.
Dilahirkan di Hannover, Jerman dan mempunyai pengalaman beraksi dengan beberapa kelab Jerman selama 5 tahun seperti TSV Havelse, VFL Wolfsburg, Hallescher FC dan SV Meppen.
Beliau juga pernah menyarung jersi kelab Liga Super Greecem Apollon Smyrnis pada musim 2018/2019 sebelum berhijrah ke Asia menyertai kelab Jordan, Al-Faisaly dan kelab Lubnan, Ahed FC.