Baru-baru ini, bekas jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) membatalkan saingan Liga Malaysia musim ini jika kes penyebaran wabak pandemik, COVID-19 tidak menunjukkan tanda pengurangan sehingga bulan Jun ini.
Beliau berkata demikian bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk berlaku ke atas pemain, barisan jurulatih, pengurusan pasukan, peminat selain penaja yang secara tidak langsung terkena tempias jika liga tidak dapat disambungkan.
Cadangan tersebut turut disokong oleh salah satu penaja pasukan Terengganu FC (TFC), GLE Centre Enterprise melalui kenyataannya dalam Berita Harian kerana mereka mengakui terkesan dari segi faktor kewangan jika liga terus ditangguhkan.
“Sebagai penaja saya berpendapat sekiranya liga tidak dapat diteruskan dalam masa terdekat atau sekurang-sekurangnya sebelum Jun akibat penularan pandemik itu, lebih baik batalkan sahaja Liga M untuk musim ini.
“Ini kerana disebabkan virus pandemik itu yang sedang melanda negara kita sekarang, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia perlu menjadi keutamaan begitu juga dengan pemain dan pihak pengurusan,” jelas Pengarah urusan GLE Centre Enterprise, Mohd Zulkifli Harun.
Perniagaan susut 70 peratus sejak PKP#BHSukanhttps://t.co/ZpuWPMciT3
— Berita Harian (@bharianmy) April 3, 2020
Bagaimanapun, jika perlawanan diteruskan tanpa kehadiran penyokong selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tetap akan memberi kerugian kepada pasukan yang bertanding dari segi kutipan tiket serta pemasaran pihak penaja.
“Jika liga berlangsung dalam keadaan stadium kosong tanpa penyokong sekalipun, ini akan menyebabkan hilang seri dan kemeriahannya.
“Sebagai penaja, sudah tentu kita pun sangat terkesan termasuk tidak dapat mempromosi serta pemasaran kerana mungkin penonton tidak datang ke stadium kerana bimbang penularan wabak itu, keadaan ini secara tidak langsung perniagaan terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
“Lebih parah kini perniagaan kami terjejas teruk menyusut sehingga 70 peratus kesan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Namun sebagai usahawan kita harus mencari alternatif lain seperti pemasaran secara dalam talian di waktu yang genting seperti ini.
“Apapun kita semua harus banyak bersabar dengan krisis yang melanda negara sekarang ini dan kita harus tabah menghadapi ujian ini kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya.
TFC telah kerjasama dengan syarikat tersebut sejak tahun 2018 dan syarikat ini juga telah mula menyumbang sebagai penaja kepada pasukan bola sepak negeri Terengganu sejak tahun 2012 lagi.
Baca artikel lain berkaitan dengan kesan penularan wabak COVID-19 sehingga menjejaskan saingan Liga Malaysia musim ini.
Ismail Zakaria Cadangkan MFL Ikut Jejak Langkah Belgium Batalkan Sahaja Liga Malaysia 2020
Melaka United Kerugian Setengah Juta Ringgit Kerana Penangguhan Liga Malaysia