Peminat bola sepak tanah air nyata teruja apabila ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menyenaraikan pemain skuad B-19 tahun negara, Najmudin Akmal bagi menyertai kem latihan pusat menjelang saingan King’s Cup 2022 di Chiangmai, Thailand.
Baca Juga:
- Brendan Gan Kembali Dipanggil Sertai Latihan Skuad Kebangsaan
- Dion Cools Sertai Kelab Republik Czech?
- Kim Pan-Gon Mahu Perkemaskan Lagi Corak Permainan Harimau Malaya
Pan-gon meletakkan Najmudin dalam senarai menunggu sekiranya ada perubahan terhadap senarai 25 pemain utama yang dipanggil dan langkah ini nyata mendapat pujian dari peminat.
Najmudin merupakan salah seorang watak utama skuad B-19 tahun negara kendalian Hassan Sazali Waras yang muncul juara saingan Piala AFF B-19 Tahun di Indonesia baru-baru ini dimana beliau menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan berlangsung.
Pemain Johor Darul Ta’zim III (JDT III) ini juga mencipta gadingan yang cukup baik bersama seorang lagi pemain, Haykal Danish yang juga tampil cemerlang dalam kejohanan tersebut. Malaysia muncul juara dengan menewaskan Laos pada perlawanan akhir.
Pan-gon boleh memberikan peluang kepada Najmudin Akmal untuk menyertai sesi latihan bersama skuad senior untuk menilai sama ada pemain tersebut mempunyai kualiti yanh cukup untuk dipilih bagi beraksi dalam saingan King’s Cup.
Ini akan memberi pengalaman yang tersendiri kepada Najmudin selain menimba ilmu sebagai pemain muda yang dapat beraksi bersama rakan sepasukan yang lebih senior dan lebih berpengalaman, baik di peringkat liga domestik mahupun pentas antarabangsa.
Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 16 hingga 19 September 2022, sebelum berlepas ke Chiang Mai untuk berdepan tuan rumah, Thailand bagi hari perlawanan pertama pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai. Satu lagi perlawanan menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan akan berlangsung di stadium sama, jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).
Seterusnya bagi hari perlawanan kedua di venue yang sama pada Ahad, 25 September 2022, kedua-dua pasukan yang kalah perlawanan pertama akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia) manakala dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di pada aksi final jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia).