Peminat Selangor mahu penjaga gol pasukan, Farizal Harun digugurkan dari skuad utama bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Farizal membangkitkan kemarahan peminat setia The Red Giants selepas beliau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap peminat yang bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat lalu.

Setelah kejadian tersebut, peminat Selangor mahu bekas penjaga gol Felda United itu digugurkan sekaligus menjadikan perlawanan menentang Terengganu FC menjadi perlawanan terakhir Farizal menyarung jersi Selangor.

Peminat turut menegaskan sikap Farizal setakat ini nyata tidak boleh diterima dimana kejadian pada Jumaat bukanlah yang pertama melibatkan penjaga gol berusia 32 tahun itu.

https://twitter.com/FitriNorhisham/status/1132321971478261760?s=19

Ketika Selangor bertandang ke Stadium Hang Jebat pada April lalu, Farizal menunjukkan isyarat lucah terhadap peminat yang hadir selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan menentang PKNP FC minggu lalu, Farizal bertindak menumbuk pemain lawan walhal tiada sebarang provokasi yang dilancarkan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi satu kenyataan di sosial media rasmi pasukan menegaskan mereka sedang meneliti hukuman yang bakal diberikan kepada Farizal.

FAS turut menyatakan mereka telah menerima permohonan maaf daripada Farizal.