Kejayaan skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) layak ke Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan melegakan peminat bola sepak tempatan selepas dibelenggu prestasi yang tidak menentu.

Baca Juga:

Walaupun tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi terakhir peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia B-23 namun Malaysia berjaya raih slot tempat kedua terbaik kumpulan bersama Kuwait, Tajikistan dan China.

Bagaimanapun, tinjauan di media sosial mendapati kebanyakan penyokong mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah menukar pengendali negara, E. Elavarasan kepada jurulatih lain yang lebih berpengalaman di pentas antarabangsa.

Hal ini kerana mereka tidak puas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh pasukan itu sejak dibimbing oleh Elavarasan.

Malah, ada juga yang beranggapan taktikal yang diterapkan oleh bekas jurulatih Sarawak United itu tidak relevan serta tidak mampu bersaing dengan pasukan kuat di Piala Asia B-23.

Berdasarkan rekod, antara pencapaian terbaik skuad Malaysia B-23 dibawah kendalian Elavarasan ialah muncul Juara Piala Merlion di Singapura pada bulan Mac lalu. Ketika itu, mereka menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.

Selain itu, Elavarasan juga gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh FAM iaitu layak ke perlawanan akhir Sukan SEA 2023 di Kemboja dan juga perlawanan akhir Piala AFF B-23 di Thailand pada Ogos lepas.

Sasaran layak ke Piala Asia B-23 secara automatik selaku juara kumpulan juga gagal dicapai sekaligus mengukuhkan lagi hujah peminat untuk menukarnya dengan jurulatih lain.

Sepanjang dibimbing oleh Elavarasan, Malaysia tewas 3 kali kepada Thailand serta gagal menandingi kekuatan Vietnam yang menurunkan ramai pemain bawah 19 tahun ketika Piala AFF B-23.

Justeru itu, perubahan perlu dibuat oleh FAM untuk memastikan pasukan muda negara mampu bersaing di pentas Asia sama ada dari segi pertukaran barisan jurulatih atau membawa masuk lebih ramai pemain warisan berkualiti dari luar negara.

Ini adalah penampilan ketiga skuad Malaysia B-23 di pentas Piala Asia B-23. Malaysia juga pernah mara ke peringkat suku akhir pada edisi 2018 di China ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Ketika itu, pasukan yang dibarisi oleh Safawi Rasid, Azam Azih, Matthew Davies, Dominic Tan telah mengejutkan Arab Saudi 1-0 di peringkat kumpulan dan pernah menewskan Korea Selatan 2-1 di Sukan Asia 2018.