Bola sepak Korea Selatan digegarkan dengan isu perkauman setelah dua pemain Ulsan Hyundai mengeluarkan komen racist terhadap pemain dari rantau Asean baru-baru ini.

Baca Juga:

Menurut perkongsian Korean Football News di laman media sosial Twitter, pemain Ulsan Hyundai yang dimaksudkan ialah Park Yong-woo dan Lee Kyu-seong dimana kedua-dua pemain memanggil salah seorang rakan sepasukan, Lee Myeong-jae sebagai ‘Sasalak’ atau ‘Kuota Asean’ kerana memiliki kulit yang gelap.

Gelaran ‘Sasalak’ merujuk kepada pemain pertahanan Thailand iaitu Sasalak Haiprakhon yang pernah beraksi dalam saingan Liga Korea bersama Jeonbuk Hyundai Motors pada musim 2021 lalu.

Ulsan Hyundai Asean
Korean Football News

Seperti yang diketahui, Sasalak mempunyai kulit yang gelap dan perkara ini dijadikan sebagai bahan jenaka oleh mereka yang berkulit cerah seperti rata-rata rakyat Korea.

Tindakan Yong-woo dan Kyu-seong nyata mendapat kecaman daripada peminat dimana mereka berpendapat kedua-dua pemain tidak sepatutnya membuat komen tersebut yang dianggap menghina pemain dari Asia Tenggara.

Akan tetapi, ada juga peminat yang tidak terkejut dengan komen dua pemain itu kerana Korea Selatan sememangnya terkenal dengan sifat perkauman, khususnya dengan individu yang mempunyai kulit gelap.

Sehingga artikel ini ditulis, Ulsan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai komen yang dikeluarkan pemain mereka.

Apa yang pasti, perkauman tidak sepatutnya dibenarkan dalam bola sepak dan sesiapa yang mengeluarkan komen sedemikian wajar untuk dikenakan hukuman berat.