Bekas pemain pertahanan import Petaling Jaya City FC, Joshua Grommen akan beraksi dalam saingan Thai League 1 bagi baki saingan musim 2019 apabila beliau sah menyertai Sukhothai FC.
Perpindahan Joshua ini disahkan oleh pengelola Liga Thailand, Thai League menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi Twitter milik badan tersebut semalam.
🦇 Sukhothai FC unveil 🇵🇭 @TheAzkalsPH U23 defender @JGrommen as their new player#ToyotaThaileague #ThaiLeague #ฟุตบอลไทย #บอลไทย #ไทยลีก pic.twitter.com/Tmo7IQNI4b
— ThaiLeague (@thaileague) July 16, 2019
Joshua merupakan bekas pemain skuad kebangsaan Filipina B-23 tahun dimana beliau pernah beraksi di Australia dan England sebelum kembali mencuba nasib bersama beberapa kelab Liga Filipina. Joshua pernah membantu Ceres Negros mara ke perlawanan akhir AFC Cup zon Asean pada musim 2017 dimana Ceres berjaya menewaskan kelab Singapura, Home United dengan keputusan 3-2 secara agregat.
Pemain berusia 23 tahun ini kemudiannya menyertai Davao Aguilas bagi menghadapi musim 2018 dimana beliau tampil dalam 11 perlawanan Liga bersama Davao. Namun, keputusan Davao untuk menarik diri daripada saingan Philippines Football League (PFL) musim 2019 menyebabkan ramai pemain kelab tersebut termasuk Joshua Grommen terpaksa mencari kelab baharu.
Petaling Jaya City FC kemudiannya menandatangani Joshua sebagai pemain import Asean bagi memantapkan lagi barisan pertahanan pada awal musim ini. Akan tetapi, Joshua hanya beraksi pada separuh masa pertama musim 2019 dan beliau digantikan dengan Elizeu.
Bersama Sukhothai, Joshua akan menyertai bekas pemain tengah Felda United, Curran Ferns yang menyarung jersi kelab tersebut sejak musim 2018. Sukhotai ketika ini menduduki tangga ke-13 dengan kutipan 20 mata.